Saturday, 15 February 2014

AKTIVITI LITERASI BAHASA
Takrifan literasi (celik huruf atau kenal huruf) biasanya memaksudkan keupayaan membaca dan menulis, atau keupayaan menggunakan bahasa untuk membaca, menulis, mendengar, dan bertutur.

Dalam konteks yang lebih tepat, literasi bermaksud mampu membaca dan menulis di tahap yang memadai untuk berkomunikasi

Prabacaan
Membaca memerlukan satu tahap pemikiran yang tinggi serta komunikasi mesej atau sebutan makna. Oleh itu, membaca merupakan satu proses kognitif iaitu berfikir melalui bahan bercetak. Membaca boleh ditakrifkan sebagai satu perlakuan mendapatkan maklumat melalui lambang-lambang bertulis atau bercetak.
Prabacaan merupakan tahap penyediaan murid-murid untuk membaca. Guru perlulah menyediakan pengalaman bahasa , iaitu mengenal dan juga mengecam huruf. Murid perlu didedahkan dengan aktiviti yang boleh mendorong mereka dalam mempertingkatkan lagi ketajaman penglihatan dan pendengaran. Ia perlu bagi membentuk kelaziman membaca seperti membaca dari kiri ke kanan dan juga dari atas ke bawah.










Kaedah Pengajaran Prabacaan

Terdapat beberapa kaedah pengajaran prabacaan yang biasa dilakukan. Antaranya ialah :
a)    Kaedah abjad
b)    Kaedah pandang dan sebut
c)    Kaedah fonik

Kaedah Abjad
Kaedah abjad merupakan satu kaedah pengajaran untuk mengenal nama-nama huruf yang digunakan dalam tulisan iaitu a,b,c hinggalah z. Pada peringkat permulaan, guru-guru akan mengajar murid-murid untuk menghafal nama-nama huruf ini mengikut aturan dari a hingga z. Bagi memudahkan lagi sesi pengajaran abjad-abjad ini, guru bolehlah menggunakan alat bantu mengajar seperti lagu-laguan yang telah digubah liriknya kepada huruf-huruf.

            Apabila murid-murid telah berjaya menguasai abjad-abjad tersebut, barulah guru boleh mengajar mereka membina suku kata seperti “ba - tu”, “ka - ki” dan sebagainya dan diikuti pula dengan mengeja perkataan-perkataan. Selepas itu, guru-guru bolehlah memberi latihan membaca ayat-ayat pendek kepada murid-murid.

Kaedah Pandang dan Sebut
Kaedah pandang dan sebut merupakan satu kaedah yang memerlukan murid-murid untuk melihat sesuatu benda dan kemudiannya menyebut nama benda itu. Kaedah ini dikenali sebagai “Kaedah Seluruh Perkataan”. Untuk melaksanakan kaedah ini, guru-guru bolehlah menggunakan kad imbasan dengan pelbagai gambar serta ditulis nama benda tersebut pada kad imbasan itu. Contohnya seperti batu, kasut, kayu, rumah, baju dan sebagainya.
Perkataan-perkataan yang telah ditulis itu difikirkan lebih bermakna berbanding dengan pecahan-pecahan tiap-tiap hurufnya. Kad-kad imbasan tersebut akan ditunjukkan berulang-ulang kali sehinggalah murid-murid dapat menegcam bentuk dan bunyi huruf perkataan itu.
            Oleh yang demikian, murid-murid akan dapat mengecam benda sekaligus dengan bentuk perkataan dan juga bunyi perkataan sesuatu benda itu. Jadi, dalam kaedah ini, murid-murid akan cuba untuk mengenal lambang-lambang itu supaya mereka dapat membaca dengan lancar. Untuk itu, mereka perlu mengenal beberapa puluh lambang-lambang untuk membolehkan mereka membaca. Selepas itu, barulah guru akan mengajar mereka untuk mengeja tiap-tiap perkataan dan juga mengenal nama-nama huruf.

Kaedah Fonik
Kaedah fonik merupakan satu kaedah dimana murid-murid diajar untuk mengenal bunyi-bunyi huruf. Pada asasnya, kaedah ini adalah untuk mengajar murid-murid melihat hubungan diantara simbol (huruf) dan juga bunyi ( grapheme phoneme relationship) agar mereka boleh membunyikan perkataan yang baru mereka kenali. Murid-murid diajar untuk membunyikan huruf-huruf tersebut. Contohnya huruf ‘a’ bunyinya ‘aa..’, ‘b’ dibunyikan ‘beh..’ dan seterusnya.
            Selepas mereka tahu hubungan tiap-tiap huruf dengan bunyinya, barulah suku kata akan dibina. Contohnya, ‘ma’, ‘tu’, ‘ba’, ’ju’ dan sebagainya. Kemudian, suku-suku kata akan digabungkan menjadi perkataan seperti ‘baju’, ‘batu’, ‘kata’ dan sebagainya. Sebagai pengukuhan, murid-murid akan diberi latihan untuk membaca ayat-ayat yang menggunakan perkataan ini.






PEMULIHAN MEMBACA

Saringan dan diagnosis.
Beberapa cara dapat digunakan untuk membuat tindakan saringan dan diagnosis untuk mengesan dan menentukan kelemahan membaca. Cara-cara ini adalah seperti berikut :
a)    memerhatikan murid yang sedang membaca.
b)    menilai jawapan mereka dari soal selidik guru.
c)    menggunakan buku bacaan yang telah dikelaskan.
d)    mengkaji pergerakan mata murid ketika membaca.
e)    memberi ujian tara.
f)     memberi ujian yang direka oleh guru.
g)    memilih murid untuk pengajaran pemulihan (atau tambahan).

Sebagai panduan, biasanya lebih daripada satu cara digunakan untuk mengesan dan menentukan kelemahan membaca.

1.Memerhatikan murid yang sedang membaca.
-Cara-cara mengesan murid yang mempunyai masalah membaca ialah dengan memerhatikan murid yang membuat perkara berikut :
a)    Membaca sesuatu muka surat terlalu lama, iaitu murid tersebut tidak menukar muka surat yang dibaca dengan kadar sepatutnya.
b)    Menggerakkan bibir ketika membaca yang sepatutnya tidak perlu.
c)    Menggunakan jari atau pensil sebagai petunjuk ketika membaca sesuatu barisan.
d)    Menggerakkan kepala (dan bukan mata) ketika membaca.
e)    Tidak duduk senang, selalu bergerak-gerak dan melihat keluar ketika membaca.
f)     Perbuatan atau tabiat diatas mungkin menunjukkan bahawa bahan bacaan yang sedang dibaca oleh murid tidak sesuai, atau tidak diminatinya. Walaupun demikian, perkara seperti diatas dikaji dengan teliti oleh guru untuk menetukan perkaitan antara tabiat tersebut dengan sesuatu kelemahan membaca.
g)    2. Menilai jawapan dari soal selidik mengenai tabiat membaca.
-Guru boleh menyediakan dan memberikan soal selidik mengenai tabiat membaca kepada murid.
h)   -Jawapan-jawapan dari soal selidik ini dapat digunakan oleh guru untuk mengesan sesuatu masalah khusus dengan lebih lanjut. Tujuan dan matlamat sesuatu rancangan membaca ialah agar murid mempunyai tabiat membaca, dan terus membaca serta ia akan dapat kepuasan dari membaca.
i)     -Berikut diturunkan satu contoh soal selidik yang dapat digunakan oleh guru.


Nama murid : …………………….                                    Tarikh : ………………………..

1. Apa yang anda buat jika anda tidak berada di sekolah?
2. Adakah anda suka membaca majalah dan buku?
3. Apakah jenis buku yang anda suka baca?
a)    Riwayat hidup
b)    Pengembaraan
c)    Cerita binatang
d)    Dongeng
e)    Berita
4. Namakan buku-buku yang telah anda baca pada tahun lalu dan
tandakan buku yang anda suka.
5. Dari manakah anda dapat buku untuk dibaca?
6. Majalah apakah yang selalu anda baca? Mengapa?
7. Kerja sekolah jenis apa yang anda suka?
8. Apakah cita-cita anda apabila dewasa?


Contoh soal selidik mengenai tabiat membaca murid-murid.


3. Menggunakan buku yang telah dikelaskan
-Jika ada buku yang telah dikelaskan mengikut darjah, maka murid yang disyaki mempunyai kelemahan membaca boleh disuruh membaca buku tersebut. Kemudian kefahaman murid boleh diuji dengan memberinya soalan-soalan berkaitan dengan perkara yang telah dibacanya. Cara ini harus dapat dibuat untuk beberapa peringkat, atau kelas bahan bacaan hinggakan murid tersebut benar-benar dapat membaca pantas dan faham bahan bacaan yang dibacanya. Biasanya, berbagai-bagai jenis bahan bacaan dikemukakan kepada murid tersebut, kerana bahan sains mungkin menimbulkan kerumitan, manakala bahan
sejarah mungkin didapati lebih senang.

4. Mengkaji pergerakan mata ketika murid membaca. Pakar-pakar psikologi telah mengkaji pergerakan mata ketika membaca. Dari kajian mereka, beberapa maklumat telah diperolehi. Antaranya adalah seperti berikut :
a.    Ketika proses membaca, mata pembaca bergerak dalam satu siri lompatan di satu barisan tulisan.

CONTOH AKTIVITI PEMULIHAN MEMBACA









1)    Aktiviti:Sebut Nama  Huruf Mengikut Melodi
Prosedur pelaksanaan:
1.    Guru menunjukkan kad imbasan huruf besar dan huruf kecil
2.    Murid menyebut huruf yang ditunjukkan oleh guru.
3.    Guru memperdengarkan lagu “Huruf Besar Dan Huruf Kecil”
4.    Murid menyanyi lagu “Huruf Besar Dan Huruf Kecil” sambil menyebut huruf yang ditunjukkan oleh guru.

2)    Aktiviti: Mengeja Satu Dan Dua Suku Kata Mengikut Melodi
Prosedur pelaksanaan:
1.    Murid menyebut sukukata KVKV yang terdapat dalam senikata lagu.
Contoh :Saya Suka Hati,kaki ,jari
2.    Guru memberi penerangan dan tunjukkan cara cara menepuk detik meter.
3.    Murid menepuk detik secara berulang-ulang
4.    Murid bermain kastenet mengikut detik sambil menyebut suku kata KVKV seperti saya suka hati,jari , kaki

3)    Aktiviti: Mengeja Perkataan Berdasarkan Gambar
Elemen Bahasa: Suku Kata KVKV
Prosedur Pelaksanaan.
1.    Guru menunjukkan gambar yang mempunyai suku kata KVKV
2.    Guru mengeja dan menyebut suku kata KVKV di hadapan murid.
3.    Murid mengikut suku kata yang disebut oleh guru.
4.    Murid mengeja dan menyebut suku kata KVKV tanpa bimbingan guru.







4)    Aktiviti: Bermain Dengan Huruf Secara Lokomotor Dan Bukan Lokomotor
Prosedur pelaksanaan:
1.    Murid-murid ditunjukkan gambar mengenai anggota tubuh badan
2.    Setelah itu,murid dikehendaki menyusun  huruf yang membentuk perkataan bagi anggota tubuh badan.
3.    Murid mengeja dan menyebut perkataan tersebut.

5)    Aktiviti Permainan Mengeja
Prosedur pelaksanaan:
1.    Murid dibahagikan kepada 4 kumpulan
2.    Seorang murid dalam setiap kumpulan akan diberi kad ayat yang mengandungi ayat lengkap atau maklumat .
3.    Murid berkenaan akan beraksi mengikut maklumat kad yang dibaca.
4.    Murid lain akan menyebut perkataan dan membina ayat yang tepat berdasarkan pemerhatian tadi.











Pratulisan
Tulisan merupakan lambang-lambang bunyi bahasa yang telah dipindahkan dalam bentuk grafik untuk melahirkan perasaan, fikiran dan idea. Manakala menulis pula merupakan proses memindahkan lambang-lambang bunyi yang tersusun dan teradun bagi melahirkan bunyi-bunyi yang bermakna serta boleh dijadikan alat komunikasi.
            Pratulisan merupakan satu peringkat awal yang  perlu di lalui oleh kanak-kanak agar ereka boleh melahirkan lambang-lambang bunyi khusu yang arbitrari ataupun boleh diterima oleh masyarakat.
            Pada peringkat awal, kanak-kanak akan membuat contengan diatas permukaan benda-benda sedia ada yang ada di sekeliling mereka dengan menggunakan bahan-bahan yang boleh meninggalkan kesa. Contohnya seperti menggunakan kayu diatas permukaan tanah. Melalui cara ini dapat melatih otot tangan, jari serta koordinasi mata dan tangan.Pada peringkat contengan ini perkembangan dari membuat contengan bebas hingga keperingkat contengan terkawal. Peringkat pra tulisan ini adalah bagi kanak-kanak mendapatkan latihan otot, tangan, jari serta kordinasi mata tangan.

Peringkat pra tulisan perlu menitikberatkan perkara-perkara berikut:

1. Melakukan latihan-latihan pergerakan tangan dan jari melalui aktiviti seperti menggunting, mengoyak, menganyam, menampal, menguli tepung dan lain- lain.  
2. Menguasai gerak tangan bebas, cara memegang alat tulis, cara duduk dan sebagainya supaya boleh menulis dengan sempurna dan selesa.
3. Melakukan latihan-latihan pergerakan mata dari kiri ke kanan, dari atas ke bawah dan      lain-lain.
4. Melakukan latihan-latihan keselarasan (koordinasi) mata dan tangan.

Aktiviti-aktiviti Latihan Pratulisan
Terdapat beberapa latihan pratulisan yang boleh dilakukan oleh guru-guru iaitu :
a)    Melaksanakan aktiviti menulis dari kiri ke kanan.




b)    Melaksanakan aktiviti membuat corak, menyambung titik, memadankan bentuk dan lain-lain.









c)    Melaksanakan aktiviti membentuk huruf









d)    Melaksanakan aktiviti melukis gambar









           Salah satu keperluan akademik di sekolah ialah kebolehan menulis dalam kalangan muri-murid. Kebolehan menulis diperlukan bagi semua mata pelajaran di sekolah. Guru sangat hebat dalam mengenal pasti kenal  tulisan buruk, dan selalunya mereka akan marah kerana terpaksa memeriksa beratus-ratus halaman buku  dalam setahun yang menyukarkarkan mereka untuk membaca.

Pelbagai cara telah dikemukakan untuk mengesan atau membuat saringan mengenai kebolehan menulis. Cara yang paling mudah adlah dengan melihat tulisan-tulisan murid yang sedia ada dalam buku latihan, atau ringkasan. Walau bagaimanapun, cara ini kurang memuaskan  kerana terdapat  murid yang mempunyai tulisan yang  memuaskan jika diberi masa yang cukup, dan murid itu juga mungkin tidak dapat menulis dengan jelas jika masa ini dihadkan.

Berikut merupakan cara yang boleh digunakan oleh guru untuk mengesan, atau membuat saringan mengenai kebolehan menulis dalam kalangan murid-murid dalam bilik darjah.

1. Membuat ayat atau perenggan biasa boleh digunakan, asalkan mematuhi dua syarat berikut:
a)    Tidak mengandungi perkataan yang akan menghentikan murid menulis kerana kerumitan mengeja.
b)    Mempunyai isi kandungan yang dalam pengalaman dan dapat difahami oleh murid.

2. Setelah murid membaca ayat yang diberikan beberapa kali dan setelah mereka kenal semua kandungannya, maka guru boleh memberitahu murid supaya menulis ayat tersebut sebanyak lima kali dengan tulisan yang terbaik dan masa yang diberikan adalah tidak dihadkan.

3. Setelah semua murid selesai menulis, guru boleh menyuruh mereka menulis ayat yang sama seberapa banyak yang mereka boleh dalam jangka  masa tiga minit. Setelah tiga minit, guru akan menyuruh mereka berhenti menulis dan mengutip tulisan tersebut untuk disemak.

4. Semasa  menilai tulisan-tulisan tersebut, guru harus memerhatikan perkara-perkara berikut:
a)    Kualiti tulisan dalam ujian yang tidak menghadkan masa.
b)    Kaitan kualiti antara tulisan dalam ujian yang tidak dihadkan masa dan ujian yang menghadkan masa.
c)    Kadar penulisan dalam ujian yang masanya terhad dikira seperti berikut: Jumlah perkataan dibahagi dengan masa.

5. Setelah ujian ini selesai, murid-murid berikut perlulah mengikuti  latihan pemulihan tulisan.
a)    Murid yang tulisannya terlalu buruk dan tidak dapat dibaca dalam ujian yang dihadkan masanya.
b)    Murid yang tulisannya sukar dibaca dalam ujian yang tidak dihadkan masa.
c)    Murid yang kadar penulisannya terlalu lambat.
d)    Murid yang tulisannya terlalu condong ke kiri, atau tulisannya yang  terlalu besar, atau terlalu kecil untuk dibaca dengan mudah.

Penggunaan Skel Tulisan

Cara mengesan murid yang tulisannya sukar dibaca seperti ini biasanya memadai untuk dijalankan dalam situasi bilik darjah. Antara cara lain adalah dengan menggunakan Skel Tulisan yang telah disediakan dengan contoh-contoh tulisan bersama dengan kualiti mutunya. Skel-skel ini disediakan berdasarkan kajian yang luas, dan daripada kajian inilah  satu skel purata disediakan yang dapat dikaitkan dengan tahap murid.

Dengan menggunakan Skel Tulisan ini, sesuatu tahap  dapat dibandingkan dengannya. Contoh-contoh skel ini ialah:
a)    ‘Thorndike Scale for Handwriting'
b)    `Ayres Measuring Scale for Handwriting (Gettysburg Edition) ‘
c)    `American Handwriting Scale'
d)    'Minneapolis Handwriting Scale'

Walau bagaimanapun, skel-skel ini hanya merupakan alat untuk  mengesan (atau saringan) dan tidak dapat menentukan kelemahan seperti yang dibuat dalam diagnosis.
Setelah murid yang memerlukan pengajaran pemulihan dalam penulisan dikesan, maka guru dapat membuat diagnosis atau menentukan jenis-jenis kelemahan murid tersebut. Cara yang mudah untuk melaksanakan proses diagnosis ini adalah  dengan membaca tulisan murid, dan menandakan semua huruf yang tidak mudah dibaca, atau yang memerlukan penelitian kali kedua. 
Guru hendaklah menyediakan jadual senarai murid-murid dan catatkan kelemahan setiap murid. Perkara ini mudah untuk dibuat dengan menggunakan Carta 'The Pressey Chart for Diagnosis of Illegibilities in Handwriting'. Carta ini boleh disediakan berdasarkan penyelidikan tulisan murid yang menunjukkan berbagai-bagai jenis tulisan dan bentuk tulisan yang tidak dapat dibaca.
            Dari penyelidikan Pressey, untuk menyediakan cartanya itu, beberapa huruf didapatinya sering menimbulkan kerumitan. Contohnya huruf kecil  r ,n, e, a ,o , s dan t. menyebabkan kesilapan menulis lebih kerap berlaku .Huruf yang paling menimbulkan kerumitan ialah r, diikuti dengan huruf n. Kesilapan yang sering berlaku ialah menulis r seperti i, n seperti u, menutup e, membuat d seperti cl, o seperti a dan a seperti u. Huruf besar biasanya mudah dibaca, kecuali huruf L Oleh sebab yang demikian ,tujuh huruf kecil dan satu huruf besar ini menyebabkan tulisan yang susah dibaca, adalah munasabah jika pengajaran pemulihan dalam penulisan diarahkan kepada menulis bentuk-bentuk huruf ini dengan betul. Teknik seperti ini telah menghasilkan tulisan yang memuaskan di kalangan murid sekolah rendah.






Cara-Cara Mengatasi Masalah Tulisan

Guru perlulah memberi latihan dan pengukuhan yang secukupnya dalam peringkat-peringkat permulaan dan mendirikan asas. Penerangan, tunjuk cara serta contoh-contoh yang jelas dan betul perlulah diberi agar sesuai dengan tahap keupayaan murid secara individu supaya dapat diikuti dengan mudah. Guru adalah model atau contoh yang menjadi ikutan murid-murid. Tulisan dan cara-cara guru menulis contoh yang akan disalin oleh murid-murid hendaklah dibuat dengan teliti dan betul.

Kad-kad tulisan dan lembaran-lembaran kerja bertulis perlulah disediakan oleh guru dengan sempurna. Banyakkan latihan dan berikan bantuan individu kepada murid-murid yang mengalami masalah dalam menulis. Guru juga perlu membuat pertimbangan bagi menentukan waktu yang sesuai bagi  seseorang kanak-kanak itu agar tidak digalakkan lagi untuk menggunakan getah pemadam sewaktu aktiviti menulis.

Kaedah Pengajaran Pemulihan Tulisan Dan Penilaiannya

Pengajaran pemulihan tulisan bagi murid-murid sekolah rendah adalah berdasarkan pengajaran tulisan yang betul dan kukuh. Bahasa bertulis memerlukan perhubungan dengan bahasa dalam diri penulis, atau dalam fikirannya. Namun,menghubungkan bahasa lisan dengan bahasa fikiran adalah amat sukar. Oleh sebab ini, maka usaha pengajaran permulaan dalam penulisan biasanya amatlah susah walaupun murid tersebut tiada kesusahan untuk  membentuk huruf. Seperti pengajaran bahasa juga, penulisan adalah lebih mudah dipelajari ketika murid masih lagi kanak-kanak kecil , seperti pada umur empat tahun setengah.





Langkah-Langkah Penggunaan Pensil Atau Krayon.

Latihan permulaan untuk kanak-kanak kecil ini haruslah menggunakan pensil, atau krayon. Langkah-langkah untuk mengajar memegang pensil, atau krayon adalah seperti berikut:

1)     Murid disuruh memegang pensil dengan semua jari mengelilingi pensil tersebut. Kemudian, murid diberitahu supaya membayangkan bahawa mereka sedang mengacau kuih. Mereka patut mengacau dari kanan ke kiri dalam besen yang bulat, dan seluruh anggota tangan harus dihayun; bukanlah setakat tapak tangan sahaja.
2)    Apabila murid telah mahir membuat pergerakan bulat ini, murid ditunjukkan bagaimana tiga jari harus berada di sebelah belakang pensil. pensil harus dipegang dengan ibu jari dan jari telunjuk.
3)    Murid disuruh menggerakkan pensil naik dan turun dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, sambil membiarkan tiga jari yang lain berada di keadaan senang dan selesa.
4)    Kemudian, murid disuruh meletakkan ibu jari dan jari telunjuk hampir dengan mata pensil dan disuruh melatihkan kawalan jari di kedudukan ini.
5)    Setelah itu, murid diajar melonggarkan pegangan pensil oleh ibu jari serta, jari telunjuk, supaya pensil dapat bersandar ke atas jari tengah (jari hantu) di kedudukan yang betul.
 











AKTIVITI PEMULIHAN TULISAN



Elemen Bahasa :Cantuman Perkataan
Contoh Aktiviti :Garisan
Prosedur pelaksanaan:
1.    Sediakan kertas bercetak yang mengandungi hiasan dan suku kata suku kata putus-putus.
2.    Murid mencantumkan suku kata yang disediakan bagi membentuk perkataan.
3.    Tampalkan perkataan yang telah dibentuk pada kertas yang bercetak.
4.    Murid mewarnakan perkataan dengan menggunakan pensel warna /krayon

Elemen Bahasa:Suku Kata KV
Contoh Aktiviti:Kolaj
Prosedur Pelaksanaan:
1.    Murid menghasilkan pelbagai jenis garisan dengan bimbingan guru.
2.    Guru mengedarkan kad yang bercetak huruf kepada murid.
Contoh huruf:
·         a        e          i           o          u
·         k        l           b           d         p
3.    Murid membuat kolaj huruf mengikut kreativiti sendiri.
4.    Guru mengedarkan gambar kepada murid.
5.    Murid menamakan objek tersebut secara lisan
6.    Murid menggabungkan hasil kolaj untuk menghasilkan suku kata berdasarkan gambar yang diberi.
Contoh:
Gambar kaki

i
 

k
 

a
 

k
 
                  







1 comment:

  1. The Casino in Atlantic City, NJ - MapYRO
    Casino Overview, Location, Phone Number, 오산 출장안마 Reviews, Games, Games, Special Events, 오산 출장안마 Rates, Games, Special Events, 여주 출장안마 Hotel 평택 출장샵 Reservations, Casino Rentals. 양산 출장샵

    ReplyDelete