Wednesday, 11 September 2013

ASSIGNMENT PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

1.0 PENGENALAN TEORI  EKOLOGI BRONFENBRENNER

Teori Ekologi Bronfenbrenner menjelaskan mengenai perkembangan kanak-kanak melalui interaksi ataupun perhubungan secara zahiliah dengan alam persekitaran dan masyarakat setempat. Berkaitan dengan itu, terdapat pelbagai kesinambungan yang berlaku samaada secara jelas atau tidak. Dalam rangkaian kesinambungan ini, Bronfenbrenner menyatakan pendapatnya berdasarkan kepada penelitian terhadap kanak-kanak. Pada asasnya, teori ini seperti merujuk kepada sikap semulajadi kanak-kanak yang dianggap sering menggunakan persekitaran untuk melatih kemahiran dan kepenggunaan dalam diri sendiri.
            Berdasarkan teori ini, Bronfenbrenner telah menetapkan lima ciri-ciri penting yang perlu diambil kira. Kelima-lima ciri ini adalah sistem tetap dalam teori ekologi dan merupakan satu keutamaan. Kelima-lima sistem ini adalah mikrosistem, mesosistem, eksosistem, makrosistem dan kronosistem. System-sistem ini merupakan perkaitan atau kesinambungan yang dikaitkan dengan persekitaran kanak-kanak dengan perhubungan interaksi kanak-kanak itu sendiri. Oleh itu, teori ini merupakan kepercayaan berasaskan kepada kajian mendalam yang mengaitkan hubungan kanak-kanak dengan persekitaran mereka samaada dengan masyarakat, pengaruh alam sekitar, iklim, budaya dan bahasa, kepercayaan dan lain-lain.
            Penekanan teori ekologi ini adalah kepada keupayaan kanak-kanak dalam menyesuaikan diri kepada persekitaran di samping dapat memanfaatkan kemahiran-kemahiran yang lahir berasaskan kepada persekitaran setempat. Disebabkan itu, Bronfenbrenner telah membuat penegasan berdasarkan kepada cirri kanak-kanak, hubung kait dan kesan kepada kanak-kanak itu sendiri. Berdasarkan kepada lima cirri yang terdapat dalam kajian teori ini, masyarakat akan dapat melihat dengan jelas peranan-peranan yang dimainkan oleh keluarga, rakan-rakan, kawasan kejiranan, masyarakat umum dan sebagainya.
           

Oleh yang demikian, adalah wajar sekiranya teori ini diberi lebih perhatian dan penekanan terutama kepada guru-guru untuk menilai tahap perkembangan kanak-kanak. Hal ini adalah untuk mengelakkan para guru daripada mengabaikan keperluan dan kehendak murid-murid kelak. Kerana itu, persekitaran yang baik turut diambil kira di samping gagasan perkembangan kanak-kanak yang baik dan berkesan. Perhubungan teori ini juga dilihat sebagai sejajar dengan kehendak sistem Pendidikan Negara yang menekankan aspek kemahiran kanak-kanak samaada secara langsung atau tidak langsung.
            Kesimpulannya, para guru, ibubapa dan masyarakat setempat perlulah sama-sama menghayati dan memahami teori ekologi Brofenbrenner agar perkembangan kanak-kanak tidak terhenti dan terbantut. Masing-masing perlu memainkan peranan dalam memberi tunjuk ajar dan melatih kanak-kanak untuk membina perkembangan yang baik dan teratur.










2.0 SISTEM PERSEKITARAN TEORI EKOLOGI BRONFENBRENNER

Dalam teori ekologi ini, Bronfenbrenner telah menggagaskan lima sistem berkait rapat dengan keperluaan kanak-kanak untuk meningkatkan tahap perkembangan kemahiran mereka. Lima teori ini adalah mengenai mikrosistem, mesosistem, eksosistem, makrosistem dan kronosistem. Kelima-lima sistem ini merupakan kesinambungan yang jelas mengenai teori ekologi ini. Sistem-sistem ini menyifatkan bahawa kanak-kanak boleh memperkembangkan kemahiran mereka berasaskan kepada persekitaran.




Rajah 1 : Sistem-sistem dalam teori ekologi Bronfenbrenner

2.1 Mikrosistem

Sistem mikrosistem adalah berhubungkait dengan persekitaran terdekat kanak-kanak. Hal ini bermaksud, keadaan atau suasana yang berlaku secara langsung terhadap kanak-kanak dari segala segi samaada untuk interaksi, aktiviti sosial mahupun sebagai contoh tingkah laku. Oleh itu, teori ekologi ini menyatakan bahawa kanak-kanak akan lebih banyak menghabiskan masa mereka berasaskan kepada sistem ini.
            Berasaskan sistem mikrosistem, kanak-kanak adalah lebih rapat atau mudah dipengaruhi oleh masyarakat terdekat seperti ibu bapa, adik beradik, rakan, jiran dan guru. Hal ini bermakna, kawasan terdekat untuk kanak-kanak bagi mikrosistem adalah di rumah, kawasan kejiranan atau persekitaran rumah terdekat, serta kawasan persekolahan. Bagi kawasan rumah, masyarakat terdekat dengan kanak-kanak ialah pihak keluarga seperti ibu bapa dan adik-beradik. Bagi kawasan kejiranan pula, masyarakat terdekat adalah seperti jiran dan rakan-rakan sementara kawasan sekolah pula berkait rapat dengan guru dan rakan sekolah.
            Ramai yang membuat tanggapan dan andaian bahawa kanak-kanak mudah dipengaruhi dengan budaya persekitaran yang dibawa secara langsung. Hal ini bermaksud masyarakat sekitarlah yang memberi ruang bagi kanak-kanak menilai dan memilih budaya mereka mengikut apa yang mereka lihat, rasa, dan alami. Namun begitu, berasaskan kepada teori ekologi Bronfenbrenner, kanak-kanak telah dserapkan dengan kemahiran dan kebudayaan berasaskan kepada teknik pengajaran dan tunjuk ajar dari masa ke semasa. Oleh itu, teori ini telah menyangkal pandangan dan pendapat sesetengah pihak walhal keadaan semasa sebenarnya telah mengubah kebenaran teori ini berasaskan kepada sistem mikro.
            Apabila melihat beberapa rujukan terutama daripada lain-lain teori yang berkaitan seperti teori kognitif, maka terdapat beberapa kekeliruan yang mula timbul. Antaranya, apabila berlaku unsur lepas tangan dengan harapan kanak-kanak boleh mencapai tahap kemahiran mereka secara kendiri. Oleh itu, sistem ini dilihat tidak terlalu mantap jika hanya bergantung kepada satu sistem sahaja. Maka adalah wajar jika unsur mikrosistem dikaitkan dan digabungjalinkan dengan kesemua sistem yang terdapat dalam teori ekologi Bronfenbrenner.

2.2 Mesosistem

Sistem seterusnya yang dijelaskan dalam teori ekologi ini adalah mesosistem. Menurut Bronfenbrenner, mesosistem adalah kesinambungan daripada mikrosistem. Hal ini bermakna, elemen mesosistem tidak akan berlaku sekiranya elemen mikrosistem tidak berlaku terlebih dahulu. Sebarang perkara yang berlaku semasa proses mikrosistem berkembang dalam diri kanak-kanak akan mempengaruhi hubungan dengan elemen mikrosistem yang lain. Dalam bahasa yang lebih mudah, gabungan dua elemen mikrosistem akan melahirkan unsur mesosistem.
            Mesosistem menjelaskan kepada umum bahawa keadaan atau suasana di sesuatu tempat akan mempengaruhi tingkah laku individu di kawasan lain. Sebagai contoh, kaitan antara rumah dengan sekolah. Sekiranya seseorang pelajar merasai pengalaman di rumahnya, maka pelajar itu akan menggunakan pengalaman dan tingkah lakunya untuk dibawa ke kawasan sekolah. Hal ini adalah jelas, sekiranya dilihat keadaan atau pembawakan kanak-kanak di persekitaran sekolah, maka pembawakan atau wataknya di rumah boleh dianggap sama. Begitulah juga dengan hubungan kanak-kanak samaada membabitkan rumah dengan sekolah, rumah dengan jiran ataupun antara sekolah dengan jiran.
            Walaubagaimanapun, masih juga terdapat keraguan di dalam kajian berkaitan dengan sistem meso ini. Hal ini adalah kerana, masih wujud masalah di mana pelajar tidak membawa perwatakan dan pengalaman mereka secara berterusan. Sebagai contoh, kanak-kanak pada masa kini cenderung untuk mempelbagaikan watak, tingkah laku dan pengalaman mereka bergantung kepada suasana, keadaan dan masa yang berbeza. Dalam kata lain, kanak-kanak boleh memanfaatkan situasi dan keadaan serta menggunakan pendekatan yang berbeza-beza. Oleh itu, suasana semasa telah menolak mentah-mentah elemen kedua di dalam teori ini. Kanak-kanak tidaklah semestinya mengamalkan perlakuan mereka di rumah untuk di bawa ke sekolah, kejiranan atau sebagainya.
            Oleh yang demikian, pendekatan yang digunakan dalam mesosistem mengalami sedikit pertikaian dengan situasi semasa kanak-kanak. Begitulah juga halnya dengan pembawaan kebudayaan, pertuturan, tutur langkah dan lain-lain lagi. Namun begitu, hal ini masih tidak dikaitkan lagi dengan teori kognitif yang turut membincangkan perkaitan dengan perkembangan psikologi kanak-kanak. Tuntasnya, adalah lebih wajar sekiranya setiap elemen di dalam teori ekologi ini dinilai dan digabungjalinkan supaya wujud kesinambungan antara satu sama lain bagi mengukuhkan lagi teori ekologi Bronfenbrenner ini.

2.3 Eksosistem

.Eksosistem beerti pengalaman yang ada dengan persekitaran yang tidak melibatkan kanak-kanak secara langsung tetapi mempengaruhi keputusan yang diambil dalam persekitaran semasa kepada kanak-kanak itu. Hal ini bukan sahaja boleh berlaku kepada kanak-kanak tetapi turut berlaku kepada golongan dewasa yang terlibat dengan kanak-kanak  terbabit. Perubahan konsep ini akan lebih jelas seperti mengaitkan hubungan kanak-kanak dengan persekitaran terutama untuk membuat keputusan.
            Sebagai contoh, kanak-kanak akan lebih memahami persekitaran mereka dan sekaligus menggunakan pengalaman ini untuk dimanfaatkan dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya, perhubungan antara sekolah dengan pasaraya. Sekiranya kanak-kanak pergi ke pasaraya, maka mereka perlulah beratur untuk membuat pembayaran. Hal inilah yang akan mereka manfaatkan sekiranya ingin menjalankan urusan pembelian di kawasan kantin sekolah. Contoh seterusnya adalah berkaitan dengan hubungan antara perpustakaan dengan sekolah. Pelajar mestilah senyap dan tidak bermain-main ketika berada di dalam perpustakaan, maka mereka perlulah mengaplikasikan konsep ini ketika berada di dalam kelas. Hal ini jelas menunjukkan bahawa seseorang individu mampu mempengaruhi individu lain berasaskan kepada elemen ketiga ini iaitu eksosistem.
            Dalam eksosistem juga, penekanan lebih tertumpu kepada perkaitan antara persekitaran, individu atau masyarakat yang mendatangkan pengaruh kepada kanak-kanak. Kanak-kanak yang mudah dirangsang seringkali menggunakan pengaruh persekitaran dalam membentuk pengalaman baru. Seterusnya pengalaman ini telah mereka manfaatkan dalam kehidupan seharian juga untuk digunakan di persekitaran yang berlainan. Hal inilah yang dimaksudkan dengan eksosistem dan penekanan dalam sistem ketiga ini. Oleh itu, prinsip ini boleh diklasifikasikan sebagai jelas dan bertepatan dengan situasi kanak-kanak pada masa kini.
            Pengaruh eksosistem dalam perkembangan kanak-kanak juga adalah jelas jika dilihat dengan persekitaran sekolah. Sebagai contoh, guru perlulah lebih jelas tentang kepelbagaian ciri-ciri setiap pelajar. Oleh itu, pelajar yang pasif akan mendatangkan kesan kepada teknik pengajaran seorang guru. Hal ini adalah kerana, guru perlu mempelbagaikan teknik pengajaran bagi mengelakkan pengaruh yang berbeza-beza ini berkembang dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

2.4 Makrosistem.

Elemen seterusnya adalah berkaitan dengan makrosistem. Menurut Brofenbrenner, makrosistem bermaksud perkembangan individu yang dipengaruhi oleh norma-norma kehidupan, nilai dan amalan masyarakat di persekitaran. Disebabkan oleh pengaruh-pengaruh ini, perkembangan kanak-kanak akan terikut-ikut atau terbawa-bawa dengan kepentingan dan keperluan masyarakat sekeliling. Sebagai contoh, di sesetengah Negara, kepercayaan karut masih menjadi amalan dan kepercayaan kuat dalam masyarakat. Oleh yang demikian, kanak-kanak akan terbawa-bawa dan akhirnya terus berpegang kuat kepada pembawakan pengaruh terbabit.
            Makrosistem turut membantutkan rangsangan terhadap kanak-kanak. Contohnya, kaum wanita tidak diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Alasannnya adalah kerana kaum wanita perlu menjaga keperluan keluarga dan tidak perlu bekerja. Maka, kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran seperti ini akan mudah terpengaruh seterusnya merasa malas untuk belajar. Begitu juga halnya dengan kaum lelaki. Mereka dianggap sebagai pemimpin, walaubagaimanapun apabila berlaku pembalikan norma, maka kaum lelaki akan merasa kurang selesa. Sebagai contoh, apabila kaum wanita dilantik menjadi ketua atau memegang jawatan tinggi, sekaligus menyebabkan kaum lelaki berasa kurang selesa untuk bekerja di bawah arahan kaum wanita.
            Namun begitu, pegangan dalam sistem ini dianggap tidak bersesuaian lagi dalam mempengaruhi perkembangan kanak-kanak khususnya. Sistem  makrosistem dilihat sebagai tidak relevan lagi dengan perkembangan pada masa kini. Hal ini adalah disebabkan oleh, kebolehan kanak-kanak untuk membuat penilaian sendiri di samping penggabungan budaya-budaya lain. Dalam kata lain, kanak-kanak akan lebih mudah terpengaruh dengan situasi dan kehendak semasa berbanding dengan pegangan dan norma-norma yang sedia ada. Oleh kerana itu, pendekatan ini juga adalah tidak begitu realistik jika dibandingkan dengan sistem-sistem lain yang terdapat dalam teori ekologi ini.
            Secara ringkasnya, elemen makrosistem ini lebih menjurus kepada pengaruh secara sekata yang sudah sedia ada. Disebabkan itu, maka perubahan sering berlaku dari masa ke semasa untuk membentuk perkembangan yang seimbang kepada kanak-kanak. Penularan budaya negatif dan tidak sihat juga telah menyumbang kepada perubahan iklim budaya secara terang-terangan dan teratur. Oleh itu, gagasan di dalam elemen makrosistem tidak dapat bergerak seiring melainkan terdapat perubahan dalam teori ini yang terus menyokong kehendak dan ciri-ciri dalam perkembangan kanak-kanak.

2.5 Kronosistem

Sistem yang terakhir dalam teori ekologi Bronfenbrenner adalah kronosistem. Kronosistem dilihat sebagai lebih efektif dan bersesuaian dalam mengaitkannya dengan perkembangan kanak-kanak. Kronosistem bermakna perubahan yang berlaku terhadap kelakuan dan tingkah laku serta budaya kanak-kanak dalam suatu tempoh masa. Hal ini bermaksud kanak-kanak akan mudah terdedah dengan persekitaran dan perubahan semasa dalam membentuk kemahiran, pengalaman dan tingkah laku. Namun begitu, perubahan yang berlaku dari masa ke semasa telah membantu kanak-kanak untuk menguasai kemahiran baru yang serba moden.
            Dalam kronosistem, terdapat beberapa kelemahan dan kekurangn yang dapat dilihat terhadap perkembangan kanak-kanak. Antaranya adalah, kanak-kanak akan mudah lupa serta gagal menguasai kemahiran-kemahiran yang sedia ada sejak turun temurun. Dalam kata lainnya, kanak-kanak akan mudah melupai asal dan budaya turun-temurun mereka. Sebagai contoh, kanak-kanak masa kini lebih gemar untuk bermain permainan komputer, sebaliknya kanak-kanak masa dahulu lebih gemar bermain di persekitaran rumah mereka. Oleh itu, dirasakan banyak kemahiran-kemahiran bakal berkurang dan menggugat perkembangan kanak-kanak dari sudut positif.
            Namun begitu, masih terdapat kekuatan berasaskan kepada sistem kronosistem. Antaranya adalah kebolehan kanak-kanak dalam menguasai kemahiran-kemahiran baru. Perkembangan dari sudut masa juga dianggap perlu untuk sentiasa memperoleh generasi baru dari masa ke semasa. Oleh itu, elemen kronosistem juga dianggap sebagai sesuai dan boleh digunapakai dalam menyokong teori ekolagi Brofenbrenner. Selain itu, kronosistem juga merupakan pelengkap kepada kelima-lima sistem yang digagaskan dalam teori ekologi ini.
            Kesimpulannya, tidak semua elemen ini yang sesuai digunakan dalam membentuk perkambangan kanak-kanak. Namun begitu, jika kesemua elemen ini diikat jalinkan maka akan terbentuk satu kesatuan yang boleh membantu perkembangan kanak-kanak secara lebih sempurna. Akan tetapi, terdapat juga elemen yang dirasakan tidak sesuai digabungkan kerana akan mendatangkan pertembungan dalam membina perkembangan yang baik. Oleh itu, diharap agar kesemua sistem ini mampu membantu kanak-kanak untuk memperkembangkan kemahiran, budaya dan interaksi mereka dengan lebih baik lagi.



  
           

Rajah 2 : Model Ekologi Bronfenbrenner



3.0 PERBEZAAN TEORI EKOLOGI BRONFENBRENNER DENGAN TEORI PERKEMBANGAN ROBERT HAVINGHURST

Perkembangan kanak-kanak berlaku dalam tempoh pergerakan masa atau keadaan di dalam persekitaran serta masyarakat. Disebabkan itu, ramai ahli-ahli psikologi dan falsafah yang membina pelbagai teori atau pendekatan untuk membincangan perkara ini. Teori-teori ini terhasil melalui idea yang digabungkan dengan prinsip, fahaman, kajian, penelitian dan hasil olahan. Antara tokoh-tokoh yang terlibat mengenai kaedah perkembangan kanak-kanak ini ialah Bronfenbrenner, Robert Havinghurst, Arnold Gesell, Jean Piaget dan ramai lagi. Namun begitu, terdapat pelbagai perbezaan berasaskan kepada teori-teori yang dihasilkan. Oleh itu, penyelidikan telah dilakukan mengenai banding beza di antara teori ekologi dengan teori perkembangan.

3.1 Teori Perkembangan Robert Havinghurst:

Sebelum kita melihat perbezaan di antara kedua-dua teori, elok rasanya untuk kita meneliti dan memahami terlebih dahulu apa yang dibincangkan di dalam teori perkembangan Robert Havinghurst.
            Robert Havinghurst ialah seorang ahli psikologi Amerika yang terkenal dengan teori perkembangan sosio budaya dan antropologi. Berdasarkan kepada teori yang telah beliau garapkan, beliau seolah-olah mengakui dan percaya bahawa perkembangan kanak-kanak amat dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Hal ini sekaligus telah membawa makna, personaliti seseorang juga turut dipengaruhi oleh nilai-nilai, norma-norma, budaya dan persekiran. Selain itu, beliau juga turut beranggapan bahawa perkembangan turut dipengaruhi oleh faktor biologi, sosial dan psikologi.
            Di samping itu, Havinghurst juga turut memperkenalkan konsep-konsep dalam tugas-tugas perkembangan kanak-kanak. Hal ini bermakna, tugas-tugas ini berfungsi mengikut perkembangan kanak-kanak itu. Dalam kata lain, apabila berlaku perubahan dari segi usia seseorang individu, maka tugas-tugas perkambangan juga akan berubah mengikut tahap. Beliau juga merasakan, kegagalan dalam melalui satu-satu tugas di peringkat awal akan menyusahkan proses perkembangan dan kesukaran untuk melalui peringkat seterusnya. Pembahagian tugas ini terbahagi kepada tiga tahap iaitu tahap pertama peringkat bayi dan awal kanak-kanak ( 0-6 tahun ), tahap kedua peringkat pertengahan kanak-kanak ( 6-12 tahun ), dan tahap ketiga peringkat awal remaja dan remaja ( 12-18 tahun ).
            Dalam peringkat pertama, kanak-kanak akan mula menguasai kemahiran asas seperti berjalan, melompat, makan, minum serta membuang air. Kanak-kanak juga akan mula mengenal perbezaan jantina antara lelaki dan perempuan. Selain itu, kanak-kanak juga sudah boleh menguasai kemahiran berinteraksi dan berkomunikasi. Pada peringkat ini juga, mereka akan mampu untuk mengenal perkataan, tanda-tanda, nombor dan huruf. Dengan itu, telah wujud kesediaan membaca dalam diri kanak-kanak. Akhirnya, mereka juga akan melahirkan sikap-sikap yang baik seperti bertolak ansur dan bertimbang rasa. Di samping itu, mereka juga akan bersedia untuk menerima pandangan dan nasihat dari orang lain.
            Peringkat kedua adalah peringkat pertengahan kanak-kanak. Pada peringkat ini, kanak-kanak sudah mula menguasai teknik-teknik permainan dengan baik. Hal ini kerana, telah berlaku perkembangan otot-otot dan pertumbuhan tulang. Oleh itu, kanak-kanak akan mudah untuk menguasai kemahiran-kemahiran baru. Selain itu, kanak-kanak juga sudah mula menguasai kemahiran bersosial dengan baik. Mereka akan mula bertolak ansur dengan rakan-rakan sebaya. Akhir sekali, kanak-kanak pada peringkat ini turut menguasai kemahiran 3 M iaitu membaca, menulis dan mengira. Mereka akan lebih mahir menulis serta membaca serta lancar dan memahami isi bacaan. Dalam kata lain, mereka akan dapat menghuraikan semula isi bacaan serta menguasai teknik mengira secara asas.
            Akhir sekali adalah peringkat ketiga iaitu peringkat awal remaja dan remaja. Ketika peringkat ini kanak-kanak sudah mula melalui perubahan dari segi tubuh badan dan suara. Kanak-kanak lelaki akan mula memainkan peranan sebagai lelaki dan begitu juga sebaliknya. Mereka juga suddah pandai memahami batas-batas pergaulan antara lelaki dengan perempuan serta bersosial mengikut kesesuaian jantina. Dari sudut emosi pula, kanak-kanak akan mula belajar menghormati orang yang lebih tua dari mereka. Selain itu, mereka juga sudah bersedia untuk memilih kerja yang bersesuaian mengikut kehendak dan keperluan semasa. Remaja juga akan mempelajari peranan dan tanggungjawab yang sewajarnya dalam kehidupan mereka.
            Begitulah serba sedikit maklumat berkaitan dengan teori perkembangan Robert Havinghurst. Beliau lebih menekankan prinsip perkembangan berasaskan keperluan dan peringkat dalam diri setiap individu. Di samping itu, teori ini turut mengajar kita supaya sentiasa peka dengan perubahan yang berlaku dari masa ke semasa. Oleh itu, sebarang masalah di peringkat perkembangan akan hanya membantutkan proses perkembangan kanak-kanak itu sendiri.


Rajah 3 : Teori Robert Havinghurst

3.2 Beza di antara dua teori


 

Carta 1 : perbezaan di antara Teori Bronfenbrenner dengan Teori Robert Havinghurst

3.2.1 Istilah

Bagi sudut istilah, ternyata terdapat perbezaan yang besar di antara kedua-dua teori ini. Bronfenbrenner berpendapat perkembangan kanak-kanak terjadi hasil daripada interaksi alam persekitaran dengan kanak-kanak itu sendiri. Hal ini bermakna, kanak-kanak sentiasa akan memperkembangkan kemahiran mereka setelah berinteraksi dengan persekitaran. Oleh itu, perkembangan tidak mungkin akan terhenti atau terbantut selagi mana kanak-kanak it uterus bersosial dan menerima pengaruh dari persekitaran mereka.
            Namun begitu, bagi pendapat Robert Havinghurst pula, perkembangan kanak-kanak berlaku akibat daripada pengaruh masyarakat, norma-norma, nilai-nilai dan persekitaran. Oleh itu, beliau merasakan perkembangan itu berlaku secara sendiri dan terkawal. Walaubagaimanapun, beliau turut merasakan perkembangan akan terjejas sekiranya perkembangan di peringkat pertama gagal. Rumusannya, dalam teori perkembangan Robert Havinghurst, perkembangan kanak-kanak perlulah sentiasa diawasi dan diberi tunjuk ajar dari masa ke semasa. Dalam soal ini, beliau menggalakan perkembangan berjalan secara individu dan tidak terikat.

3.2.2 Konsep

Dalam teori ekologi Bronfenbrenner, perkembangn kanak-kanak berlaku dalam lima proses. Proses-proses ini boleh berlaku samaada secara keseluruhan atau tidak menyeluruh. Kelima-lima proses ini adalah proses mikrosistem, mesosistem, eksosistem, makrosistem dan kronosistem. Kepelbagaian di dalam proses-proses ini membolehkan kanak-kanak berkembang dari pelbagai sudut yang berbeza. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang dianggap tidak cenderung dengan situasi semasa kanak-kanak. Oleh itu, kegagalan proses perkembangan mungkin akan berlaku jika teori ini diguna pakai.
            Merujuk kepada teori perkembangan Robert Havinghurst pula, terdapat tiga aliran peringkat perkembangan dalam diri setiap individu. Peringkat-peringkat ini adalah peringkat bayi dan awal kanak-kanak, peringkat pertengahan kanak-kanak, serta peringkat awal remaja dan remaja. Menurut Havinghurst, sekiranya kanak-kanak gagal untuk melepasi setiap satu tahap dengan baik dan sempurna, maka akan timbul masalah untuk ke peingkat seterusnya. Oleh itu, adalah sukar untuk meramalkan tahap sebenar kanak-kanak itu jika dirujuk kepada teori ini sahaja.

3.2.3 Sumbangan

Teori ekologi Bronfenbrenner telah mendatangkan implikasi yang besar samaada dalam proses perkembangan kanak-kanak mahupun dari sudut pendidikan dalam bilik darjah. Teori ini dapat membantu guru-guru untuk mengenali dan membuat penilaian terhadap pelajar-pelajar mereka. Selain itu, teori ini juga turut membantu kanak-kanak untuk mempelajari teknik, kemahiran dan pengalaman baru mengikut kesesuaian semasa. Oleh itu, kanak-kanak akan terus berkembang mengikut peredaran masa dan persekitaran.
            Berbeza pula dengan teori perkembangan Robert Havinghurst. Berdasarkan teori ini, guru-guru akan dapat membuat penilaian dan menggolongkan para pelajar mengikut kemahiran yang berbeza. Oleh itu, para guru akan lebih mudah untuk mengatur teknik pengajaran yang sesuai berasaskan perbezaan kemahiran para pelajar mereka. Di samping itu, kanak-kanak juga akan mampu menguasai kemahiran mengikut tahap kesesuaian mereka. Dalam kata lain, kanak-kanak tidak perlulah memikirkan akan hal-hal yang akan dating.

3.2.4 Implikasi

Kedua-dua teori ini juga turut mendatangkan implikasi-implikasi khasnya kepada kanak-kanak. Sebagai contoh, dalam teori ekologi, perkembangan kanak-kanak hanya terhad kepada faktor persekitaran semata-mata. Ruang lingkupnya terlalu terhad dan tidak berjalan secara menyeluruh. Selain itu, teori ini juga tidak mempunyai nilai galakan atau sumbangan dari luar yang dianggap sebagai mampu untuk menjadi daya penyumbang yang besar tehadap perkembangan kanak-kanak pada masa kini.
            Teori perkembangan Robert Havinghurst juga mempunyai kekurangan yang menjadi implikasi terhadap perkembangan kanak-kanak. Antara implikasinya adalah seperti menghadkan tahap perkembangan kanak-kanak dalam menguasai sesuatu kemahiran. Hal ini begitu jelas, apabila teori ini memberi tumpuan secara berperingkat maka perkembangan kanak-kanak juga akan tersekat mengikut peringkat. Perkembangan mereka akan menjadi terhad dan mereka sukar untuk melepasi tahap kemahiran yang sedia ada. Selain itu, masalah juga akan timbul sekiranya kanak-kanak gagal untuk melepasi satu-satu tahap dengan baik. Oleh itu, adalah lebih wajar untuk menggarapkan kepelbagaian dalam satu-satu teori itu.
            Kesimpulannya, kedua-dua teori ini sememangnya mempunyai banyak perbezaan yang. Keperbezaan ini boleh datang dalam pelbagai sudut. Kerana itu, seseorang tokoh psikologi tidak akan memandang pada satu sudut sahaja dalam membuat penilaian terhadap sistem perkembangan kanak-kanak ini. Maka adalah wajar, jika kita membuat penyelidikan secara lebih mendalam dan mengguna pakai sesuatu teori itu mengikut kesesuaian dan keperluan semasa. Dalam kata lain, prinsip perkembangan kanak-kanak itu bukanlah sesuatu yang bersifat konkrit sebaliknya ianya akan sentiasa berubah dari masa ke semasa.

3.3 Perbezaan berasaskan prinsip teori dalam proses perkembangan



TEORI EKOLOGI BRONFENBRENNER
TEORI PERKEMBANGAN ROBERT HAVINGHURST
Proses perkembangan
Menurut beliau, persekitaran perkembangan individu terdiri daripada lima sistem,
iaitu :
  • Mikrosistem : Sebahagian besar sosial individu dihabiskan atau persekitaran yg paling hampir dgn individu (sekolah, tempat kerja, keluarga)








 

·         Mesosistem :
Pengalaman satu sistem Mikro mempengaruhi sistem Mikro lain. Ia merujuk kepada hubungan individu dengan individu lain dalam persekitaran di mana individu ituberkembang,contohnya rumah,sekolah dan jiran.

 

·         Ekosistem :
Keadaan yang tidak melibatkan individu secara langsung, tetapi  mempengaruhi sistem individu dan keluarga,contohnya tempat kerja,ibu bapa.



·         Makrosistem : Persekitaran yang abstrak, merangkumi sistem kepercayaan dan ideologi.Sosial dalam masyarakat contohnya budaya Melayu dan budaya Islam.
 


  • Kronosistem :
Merujuk kepada peristiwa dan transisi yang berlaku dalam persekitaran individu sepanjang hayatnya. Sejarah perkembangan sosial individu (kehidupan moden jadikan kanak-kanak lebih maju)

Peringkat-peringkat dalam teori tugas perkembangan Robert J.Havighurst,
Iaitu :
  • Peringkat permulaan dan awal kanak-kanak (0-5 tahun) :
1.    9-15 bulan : Berjalan, berlari dan melompat. Bersedia menghadam dan menyerap pelbagai jenis makanan.




2.    20-24 bulan: Menggabung perkataan utk menjadi suku kata.
3.    2-4 tahun: Mengawal pembuangan kotoran.
4.    5-6 tahun: Bersedia untuk membaca.

·         Peringkat pertengahan kanak-kanak( 6-12 tahun):
1.    Membentuk sikap menjaga kebersihan badan dan konsep kendiri.
2.    Belajar menyesuaikan diri dgn rakan sebaya.








·         Peringkat remaja (13-18 tahun) :
1.    Mencapai perhubungan baru dengan rakan sebaya dari kedua jantina.
2.    Pencapaian akil baligh membawa kepada perubahan bentuk badan.



·         Peringkat kedewasaan awal (19-29 tahun)
1.    Berusaha menampilkan diri dalam pekerjaan dan akan membentuk gaya hidup.
2.    Cuba menjalinkan persahabatan intim dengan individu yang berlainan jantina.


·         Peringkat akhir dewasa (61 tahun ke atas) :
Mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang kerjaya dan akan dihormati kerana telah memberikan sumbangan yang besar.






4.0 IMPLIKASI TEORI PERKEMBANGAN TERHADAP PROSES PEMBELAJARAN KANAK-KANAK

Dalam memastikan perkembangan kanakk-kanak berjalan dengan baik, adalah wajar untuk kita meneliti setiap perkara yang berhubung rapat dengan proses perkembangan ini. Kerana itu, Bronfenbrenner memperkenalkan teori perkembangan ekologi kanak-kanak. Berdasarkan teori ini, beliau menyatakan bahawa perkembangan seseorang individu itu merangkumi lima sistem yang berhubung dengan persekitaran. Lima sistem ini adalah mikrosistem, mesosistem, eksosistem, makrosistem dan kronosistem. Kesemua lima sistem ini telah memberikan implikasi kepada para guru dalam menyediakan diri ke arah proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
            Sebagai guru, adalah menjadi tanggungjawab untuk kita memberi bimbingan yang terbaik kepada para pelajar. Hal ini beerti, guru bukanlah hanya sekadar mengajar bahkan turut berperanan untuk mendidik para pelajar termasuk untuk memberi bimbingan yang sewajarnya. Hal ini kerana, pelajar akan lebih banyak meluangkan masa mereka di persekitaran sekolah berbanding di rumah. Oleh itu, adalah wajar sekiranya guru dijadikan sumber rujukan dan menjadi penasihat yang terbaik kepada pelajar mereka. Kerana itu, guru mestilah bijak dalam merangka aktiviti pengajaran yang berkesan dan bersesuaian dengan pengalaman, minat serta pengetahuan sedia ada pelajar untuk meningkatkan tahap perkembangan mereka. Begitu juga halnya dengan persiapan awal yang perlu dilaksanakan oleh para guru sebelum memulakan sesi pengajaran. Guru haruslah peka terhadap masalah –masalah pelajar supaya objektif yang diharapkan akan tercapai dengan baik.
            Jika dilihat dari sudut mesosistem pula, guru haruslah sentiasa menunjukkan sikap yang baik dan terpuji kepada para pelajar. Guru yang tidak menunjukkan sikap yang baik kepada para pelajar akan menimbulkan pelbagai masalah terutama kepada para pelajar itu sendiri. Hal ini adalah kerana, pelajar akan senang terpengaruh dan terikut-ikut dengan segala tindakan guru. Mereka sering menjadikan guru sebagai penunjuk cara dan sumber rujukan mereka. Kerana itu, mereka gemar meniru tingkah laku para guru. Sebagai contoh, sekiranya seseorang guru itu menunjukkan sikap negatif seperti panas baran di dalam kelas, maka mereka akan terikut-ikut akan sikap ini seterusnya membawa amalan ini ketika di rumah. Disebabkan itu, adalah penting untuk para guru dalam menerapkan unsur-unsur kerohanian semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru juga perlulah sentiasa memberi nasihat yang berguna kepada para pelajar supaya mereka akan menjadi orang yang berguna kelak.
            Beralih pula kepada aspek eksosistem. Dalam sistem ini, seseorang individu boleh mempengaruhi individu yang lain berasaskan kepada pengalaman sedia adanya. Sebagai contoh, seorang pelajar yang pasif mampu untuk mempengaruhi persekitaran kelas sekaligus memberi kesan kepada proses penyediaan aktiviti pengajaran guru. Begitu juga halnya kepada pelajar yang terlalu aktif. Oleh itu, guru perlulah melakukan kepelbagaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya dapat menarik minat pelajar untuk meneruskan proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Disebabkan itu, guru-guru perlulah memberi tumpuan yang lebih terhadap semua pelajar samaada pelajar itu aktif mahupun pasif. Hal ini adalah kerana, setiap pelajar mempunyai tahap perkembangan yang berbeza-beza walaupun berada di dalam kelas yang sama.
Aspek seterusnya adalah aspek persekitaran makrosistem. Aspek ini menyentuh tentang daya perkembangan kanak-kanak yang dipengaruhi oleh norma-norma dan amalan masyarakat setempat. Oleh itu, adalah penting untuk para guru bagi menjelaskan dan memperbaiki kesalah fahaman para pelajar tentang sesuatu konsep. Hal ini adalah kerana, ibu bapa sering kali membawakan kefahaman yang tidak sesuai dengan keperluan semasa. Sebagai contoh, ibu bapa yang menghalang pelajar perempuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. Perkara sebegini sering berlaku kerana ibu bapa percaya bahawa kaum wanita hanya layak untuk menjaga keperluan keluarga sahaja berbanding kaum lelaki yang memikul tanggungjawab lebih besar sebagai ketua keluarga. Oleh sebab itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada para guru untuk memperbetulkan semula fahaman-fahaman sebegini agar tidak menjejaskan proses perkembangan kanak-kanak. Selain itu, kepercayaan-kepercayaan seperti ini juga haruslah dikikis daripada pemikiran mereka agar mereka memahami kepentingan pelajaran dalam hidup mereka.
Kecanggihan teknologi pada masa kini dilihat menjadi beban kepada kanak-kanak khasnya kepada para pelajar di kawasan bandar. Hal ini adalah kerana, pengaruh media massa seperti televisyen dan internet yang berkembang maju tanpa batas dan kawalan. Kesannya, kanak-kanak akan mudah terdedah dengan adegan-adegan negatif dan pembawaan budaya barat yang teruk. Mereka akan senang terpengaruh dan terikut dengan paparan-paparan yang tidak sihat ini. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada para guru untuk memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang betul agar golongan kanak-kanak tidak terjebak dengan masalah negatif yang semakin menular pada masa kini. Selain itu, para guru juga perlulah bijak untuk menggunakan kecanggihan ini sebagai perangsang dalam membentuk pelajar yang serba boleh dan berkualiti.
Oleh yang demikian, peranan guru adalah perlu untuk menjamin proses perkembangan kanak-kanak dengan baik. Implikasi yang timbul berdasarkan kepada teori ekologi Bronfenbrenner ini perlu dipandang serius serta diatasi dengan sebaik mungkin. Kesimpulannya, keberkesanan dalam proses pendidikan terutama dari segi pengajaran dan pemilihan aktiviti yang baik telah membantu proses perkembangan kanak-kanak. Jadi adalah wajar untuk masyarakat kini, meneliti dan memanfaatkan teori ini dalam usaha membantu kanak-kanak membina kemahiran dalam diri mereka.








5.0 RUMUSAN

Teori ekologi Bronfenbrenner sememangnya memberi keterangan berkaitan dengan kajian terhadap proses perkembangan seseorang individu. Berdasarkan kepada teori ini, kita dapat membuat penelitian berkaitan dengan proses-proses perkembangan yang berlaku secara berperingkat. Melihat dari pelbagai perspektif, teori ini adalah dianggap masih bersesuaian dengan proses perkembangan yang berlaku pada masa kini.
            Mengikut pegangan Bronfenbrenner, proses perkembangan kanak-kanak adlah sangat berkait rapat dengan persekitaran terdekat. Selain itu, teori ini juga telah dipecahkan kepada lima bahagian yang dikira sebagai berturutan. Lima aspek ini adalah mikrosistem, mesosistem, eksosistem, makrosistem dan kronosistem. Kelima-lima aspek ini merupakan pokok kepada teori ini. Hal ini bermakna, teori ini telah menjadikan kelima-lima aspek ini sebagai pegangan untuk menyokong proses perkembangan kanak-kanak.
            Disebabkan itu, maka adalah baik sekiranya para guru dapat mengaplikasikan teori ini sebagai panduan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan membuat kajian berkaitan dengan teori ini, para guru seharusnya telah memahami keperluan dan perbezaan terhadap para pelajar. Dengan itu, para guru akan lebih mudah untuk memilih teknik pengajaran yang bersesuaian. Di samping itu, guru-guru juga akan lebih bersedia untuk menghadapi pelbagai situasi pelajar ketika di dalam kelas.
            Dengan merujuk kepada teori ekologi ini, guru-guru juga haruslah sentiasa menunjukkan sikap yang terpuji kepada para pelajar. Hal ini kerana, dalam proses perkembangan, Bronfenbrenner percaya bahawa kanak-kanak akan mudah terpengaruh dengan masyarakat setempat terutama guru mereka. Kanak-kanak juga seringkali menjadikan guru mereka sebagai contoh terbaik untuk diikuti. Maka, adalah wajar sekiranya para guru untuk meneliti teori ini dengan baik seterusnya memanfaatkannya sebagai rujukan dalam kehidupan.
           
Selain itu, teori ini juga sangat mementingkan keadaan persekitaran sebagai satu faktor yang mendorong ke arah proses perkembangan individu. Sekiranya seseorang kanak-kanak itu membesarkan di dalam persekitaran yang baik, maka proses perkembangannya juga akan berjalan dengan baik. Begitulah juga dengan perkembangan kemahiran dalam diri kanak-kanak. Namun, jika kanak-kanak itu membesar dalam persekitaran yang kurang sihat, maka proses perkembangannya juga tidak akan berjalan dengan baik.
            Oleh itu, adalah wajar sekiranya semua pihak memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan konsep persekitaran yang terbaik. Kita juga perlulah sentiasa mengambil kira akan keadaan semasa untuk mengelakkan kanak-kanak daripada terikut-ikut akan gejala yang tidak sihat seterusnya membantutkan proses perkembangan mereka. Semua pihak juga seharusnya menunjukkan sikap yang terbaik kerana ianya bakal menjadi ikutan kanak-kanak.











No comments:

Post a Comment