1.0 PENGENALAN TEORI
EKOLOGI BRONFENBRENNER
Teori
Ekologi Bronfenbrenner menjelaskan mengenai perkembangan kanak-kanak melalui
interaksi ataupun perhubungan secara zahiliah dengan alam persekitaran dan
masyarakat setempat. Berkaitan dengan itu, terdapat pelbagai kesinambungan yang
berlaku samaada secara jelas atau tidak. Dalam rangkaian kesinambungan ini,
Bronfenbrenner menyatakan pendapatnya berdasarkan kepada penelitian terhadap
kanak-kanak. Pada asasnya, teori ini seperti merujuk kepada sikap semulajadi
kanak-kanak yang dianggap sering menggunakan persekitaran untuk melatih
kemahiran dan kepenggunaan dalam diri sendiri.
Berdasarkan teori ini,
Bronfenbrenner telah menetapkan lima ciri-ciri penting yang perlu diambil kira.
Kelima-lima ciri ini adalah sistem tetap dalam teori ekologi dan merupakan satu
keutamaan. Kelima-lima sistem ini adalah mikrosistem, mesosistem, eksosistem,
makrosistem dan kronosistem. System-sistem ini merupakan perkaitan atau
kesinambungan yang dikaitkan dengan persekitaran kanak-kanak dengan perhubungan
interaksi kanak-kanak itu sendiri. Oleh itu, teori ini merupakan kepercayaan
berasaskan kepada kajian mendalam yang mengaitkan hubungan kanak-kanak dengan
persekitaran mereka samaada dengan masyarakat, pengaruh alam sekitar, iklim,
budaya dan bahasa, kepercayaan dan lain-lain.
Penekanan teori ekologi ini adalah
kepada keupayaan kanak-kanak dalam menyesuaikan diri kepada persekitaran di
samping dapat memanfaatkan kemahiran-kemahiran yang lahir berasaskan kepada
persekitaran setempat. Disebabkan itu, Bronfenbrenner telah membuat penegasan
berdasarkan kepada cirri kanak-kanak, hubung kait dan kesan kepada kanak-kanak
itu sendiri. Berdasarkan kepada lima cirri yang terdapat dalam kajian teori
ini, masyarakat akan dapat melihat dengan jelas peranan-peranan yang dimainkan
oleh keluarga, rakan-rakan, kawasan kejiranan, masyarakat umum dan sebagainya.
Oleh yang demikian, adalah wajar sekiranya teori ini
diberi lebih perhatian dan penekanan terutama kepada guru-guru untuk menilai
tahap perkembangan kanak-kanak. Hal ini adalah untuk mengelakkan para guru
daripada mengabaikan keperluan dan kehendak murid-murid kelak. Kerana itu,
persekitaran yang baik turut diambil kira di samping gagasan perkembangan
kanak-kanak yang baik dan berkesan. Perhubungan teori ini juga dilihat sebagai
sejajar dengan kehendak sistem Pendidikan Negara yang menekankan aspek
kemahiran kanak-kanak samaada secara langsung atau tidak langsung.
Kesimpulannya, para guru, ibubapa
dan masyarakat setempat perlulah sama-sama menghayati dan memahami teori
ekologi Brofenbrenner agar perkembangan kanak-kanak tidak terhenti dan
terbantut. Masing-masing perlu memainkan peranan dalam memberi tunjuk ajar dan
melatih kanak-kanak untuk membina perkembangan yang baik dan teratur.
2.0 SISTEM PERSEKITARAN TEORI EKOLOGI BRONFENBRENNER
Dalam
teori ekologi ini, Bronfenbrenner telah menggagaskan lima sistem berkait rapat
dengan keperluaan kanak-kanak untuk meningkatkan tahap perkembangan kemahiran
mereka. Lima teori ini adalah mengenai mikrosistem, mesosistem, eksosistem,
makrosistem dan kronosistem. Kelima-lima sistem ini merupakan kesinambungan
yang jelas mengenai teori ekologi ini. Sistem-sistem ini menyifatkan bahawa
kanak-kanak boleh memperkembangkan kemahiran mereka berasaskan kepada
persekitaran.
Rajah
1 : Sistem-sistem dalam teori ekologi Bronfenbrenner
2.1 Mikrosistem
Sistem
mikrosistem adalah berhubungkait dengan persekitaran terdekat kanak-kanak. Hal
ini bermaksud, keadaan atau suasana yang berlaku secara langsung terhadap
kanak-kanak dari segala segi samaada untuk interaksi, aktiviti sosial mahupun
sebagai contoh tingkah laku. Oleh itu, teori ekologi ini menyatakan bahawa
kanak-kanak akan lebih banyak menghabiskan masa mereka berasaskan kepada sistem
ini.
Berasaskan sistem mikrosistem,
kanak-kanak adalah lebih rapat atau mudah dipengaruhi oleh masyarakat terdekat
seperti ibu bapa, adik beradik, rakan, jiran dan guru. Hal ini bermakna,
kawasan terdekat untuk kanak-kanak bagi mikrosistem adalah di rumah, kawasan
kejiranan atau persekitaran rumah terdekat, serta kawasan persekolahan. Bagi
kawasan rumah, masyarakat terdekat dengan kanak-kanak ialah pihak keluarga
seperti ibu bapa dan adik-beradik. Bagi kawasan kejiranan pula, masyarakat
terdekat adalah seperti jiran dan rakan-rakan sementara kawasan sekolah pula
berkait rapat dengan guru dan rakan sekolah.
Ramai yang membuat tanggapan dan
andaian bahawa kanak-kanak mudah dipengaruhi dengan budaya persekitaran yang
dibawa secara langsung. Hal ini bermaksud masyarakat sekitarlah yang memberi
ruang bagi kanak-kanak menilai dan memilih budaya mereka mengikut apa yang
mereka lihat, rasa, dan alami. Namun begitu, berasaskan kepada teori ekologi
Bronfenbrenner, kanak-kanak telah dserapkan dengan kemahiran dan kebudayaan
berasaskan kepada teknik pengajaran dan tunjuk ajar dari masa ke semasa. Oleh
itu, teori ini telah menyangkal pandangan dan pendapat sesetengah pihak walhal
keadaan semasa sebenarnya telah mengubah kebenaran teori ini berasaskan kepada
sistem mikro.
Apabila melihat beberapa rujukan
terutama daripada lain-lain teori yang berkaitan seperti teori kognitif, maka
terdapat beberapa kekeliruan yang mula timbul. Antaranya, apabila berlaku unsur
lepas tangan dengan harapan kanak-kanak boleh mencapai tahap kemahiran mereka
secara kendiri. Oleh itu, sistem ini dilihat tidak terlalu mantap jika hanya
bergantung kepada satu sistem sahaja. Maka adalah wajar jika unsur mikrosistem
dikaitkan dan digabungjalinkan dengan kesemua sistem yang terdapat dalam teori
ekologi Bronfenbrenner.
2.2 Mesosistem
Sistem
seterusnya yang dijelaskan dalam teori ekologi ini adalah mesosistem. Menurut
Bronfenbrenner, mesosistem adalah kesinambungan daripada mikrosistem. Hal ini
bermakna, elemen mesosistem tidak akan berlaku sekiranya elemen mikrosistem
tidak berlaku terlebih dahulu. Sebarang perkara yang berlaku semasa proses
mikrosistem berkembang dalam diri kanak-kanak akan mempengaruhi hubungan dengan
elemen mikrosistem yang lain. Dalam bahasa yang lebih mudah, gabungan dua
elemen mikrosistem akan melahirkan unsur mesosistem.
Mesosistem menjelaskan kepada umum
bahawa keadaan atau suasana di sesuatu tempat akan mempengaruhi tingkah laku
individu di kawasan lain. Sebagai contoh, kaitan antara rumah dengan sekolah.
Sekiranya seseorang pelajar merasai pengalaman di rumahnya, maka pelajar itu
akan menggunakan pengalaman dan tingkah lakunya untuk dibawa ke kawasan
sekolah. Hal ini adalah jelas, sekiranya dilihat keadaan atau pembawakan
kanak-kanak di persekitaran sekolah, maka pembawakan atau wataknya di rumah
boleh dianggap sama. Begitulah juga dengan hubungan kanak-kanak samaada
membabitkan rumah dengan sekolah, rumah dengan jiran ataupun antara sekolah
dengan jiran.
Walaubagaimanapun, masih juga
terdapat keraguan di dalam kajian berkaitan dengan sistem meso ini. Hal ini
adalah kerana, masih wujud masalah di mana pelajar tidak membawa perwatakan dan
pengalaman mereka secara berterusan. Sebagai contoh, kanak-kanak pada masa kini
cenderung untuk mempelbagaikan watak, tingkah laku dan pengalaman mereka
bergantung kepada suasana, keadaan dan masa yang berbeza. Dalam kata lain,
kanak-kanak boleh memanfaatkan situasi dan keadaan serta menggunakan pendekatan
yang berbeza-beza. Oleh itu, suasana semasa telah menolak mentah-mentah elemen
kedua di dalam teori ini. Kanak-kanak tidaklah semestinya mengamalkan perlakuan
mereka di rumah untuk di bawa ke sekolah, kejiranan atau sebagainya.
Oleh yang demikian, pendekatan yang
digunakan dalam mesosistem mengalami sedikit pertikaian dengan situasi semasa
kanak-kanak. Begitulah juga halnya dengan pembawaan kebudayaan, pertuturan,
tutur langkah dan lain-lain lagi. Namun begitu, hal ini masih tidak dikaitkan
lagi dengan teori kognitif yang turut membincangkan perkaitan dengan
perkembangan psikologi kanak-kanak. Tuntasnya, adalah lebih wajar sekiranya
setiap elemen di dalam teori ekologi ini dinilai dan digabungjalinkan supaya
wujud kesinambungan antara satu sama lain bagi mengukuhkan lagi teori ekologi
Bronfenbrenner ini.
2.3
Eksosistem
.Eksosistem
beerti pengalaman yang ada dengan persekitaran yang tidak melibatkan
kanak-kanak secara langsung tetapi mempengaruhi keputusan yang diambil dalam
persekitaran semasa kepada kanak-kanak itu. Hal ini bukan sahaja boleh berlaku
kepada kanak-kanak tetapi turut berlaku kepada golongan dewasa yang terlibat
dengan kanak-kanak terbabit. Perubahan
konsep ini akan lebih jelas seperti mengaitkan hubungan kanak-kanak dengan
persekitaran terutama untuk membuat keputusan.
Sebagai contoh, kanak-kanak akan
lebih memahami persekitaran mereka dan sekaligus menggunakan pengalaman ini
untuk dimanfaatkan dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya, perhubungan
antara sekolah dengan pasaraya. Sekiranya kanak-kanak pergi ke pasaraya, maka
mereka perlulah beratur untuk membuat pembayaran. Hal inilah yang akan mereka
manfaatkan sekiranya ingin menjalankan urusan pembelian di kawasan kantin
sekolah. Contoh seterusnya adalah berkaitan dengan hubungan antara perpustakaan
dengan sekolah. Pelajar mestilah senyap dan tidak bermain-main ketika berada di
dalam perpustakaan, maka mereka perlulah mengaplikasikan konsep ini ketika
berada di dalam kelas. Hal ini jelas menunjukkan bahawa seseorang individu
mampu mempengaruhi individu lain berasaskan kepada elemen ketiga ini iaitu
eksosistem.
Dalam eksosistem juga, penekanan
lebih tertumpu kepada perkaitan antara persekitaran, individu atau masyarakat
yang mendatangkan pengaruh kepada kanak-kanak. Kanak-kanak yang mudah
dirangsang seringkali menggunakan pengaruh persekitaran dalam membentuk
pengalaman baru. Seterusnya pengalaman ini telah mereka manfaatkan dalam
kehidupan seharian juga untuk digunakan di persekitaran yang berlainan. Hal
inilah yang dimaksudkan dengan eksosistem dan penekanan dalam sistem ketiga
ini. Oleh itu, prinsip ini boleh diklasifikasikan sebagai jelas dan bertepatan
dengan situasi kanak-kanak pada masa kini.
Pengaruh eksosistem dalam
perkembangan kanak-kanak juga adalah jelas jika dilihat dengan persekitaran
sekolah. Sebagai contoh, guru perlulah lebih jelas tentang kepelbagaian ciri-ciri
setiap pelajar. Oleh itu, pelajar yang pasif akan mendatangkan kesan kepada
teknik pengajaran seorang guru. Hal ini adalah kerana, guru perlu
mempelbagaikan teknik pengajaran bagi mengelakkan pengaruh yang berbeza-beza
ini berkembang dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
2.4 Makrosistem.
Elemen
seterusnya adalah berkaitan dengan makrosistem. Menurut Brofenbrenner,
makrosistem bermaksud perkembangan individu yang dipengaruhi oleh norma-norma
kehidupan, nilai dan amalan masyarakat di persekitaran. Disebabkan oleh
pengaruh-pengaruh ini, perkembangan kanak-kanak akan terikut-ikut atau
terbawa-bawa dengan kepentingan dan keperluan masyarakat sekeliling. Sebagai
contoh, di sesetengah Negara, kepercayaan karut masih menjadi amalan dan
kepercayaan kuat dalam masyarakat. Oleh yang demikian, kanak-kanak akan
terbawa-bawa dan akhirnya terus berpegang kuat kepada pembawakan pengaruh
terbabit.
Makrosistem turut membantutkan
rangsangan terhadap kanak-kanak. Contohnya, kaum wanita tidak diberi peluang
untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Alasannnya adalah kerana kaum
wanita perlu menjaga keperluan keluarga dan tidak perlu bekerja. Maka,
kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran seperti ini akan mudah terpengaruh
seterusnya merasa malas untuk belajar. Begitu juga halnya dengan kaum lelaki.
Mereka dianggap sebagai pemimpin, walaubagaimanapun apabila berlaku pembalikan
norma, maka kaum lelaki akan merasa kurang selesa. Sebagai contoh, apabila kaum
wanita dilantik menjadi ketua atau memegang jawatan tinggi, sekaligus
menyebabkan kaum lelaki berasa kurang selesa untuk bekerja di bawah arahan kaum
wanita.
Namun begitu, pegangan dalam sistem
ini dianggap tidak bersesuaian lagi dalam mempengaruhi perkembangan kanak-kanak
khususnya. Sistem makrosistem dilihat
sebagai tidak relevan lagi dengan perkembangan pada masa kini. Hal ini adalah
disebabkan oleh, kebolehan kanak-kanak untuk membuat penilaian sendiri di
samping penggabungan budaya-budaya lain. Dalam kata lain, kanak-kanak akan
lebih mudah terpengaruh dengan situasi dan kehendak semasa berbanding dengan
pegangan dan norma-norma yang sedia ada. Oleh kerana itu, pendekatan ini juga
adalah tidak begitu realistik jika dibandingkan dengan sistem-sistem lain yang
terdapat dalam teori ekologi ini.
Secara ringkasnya, elemen
makrosistem ini lebih menjurus kepada pengaruh secara sekata yang sudah sedia
ada. Disebabkan itu, maka perubahan sering berlaku dari masa ke semasa untuk
membentuk perkembangan yang seimbang kepada kanak-kanak. Penularan budaya
negatif dan tidak sihat juga telah menyumbang kepada perubahan iklim budaya
secara terang-terangan dan teratur. Oleh itu, gagasan di dalam elemen
makrosistem tidak dapat bergerak seiring melainkan terdapat perubahan dalam
teori ini yang terus menyokong kehendak dan ciri-ciri dalam perkembangan
kanak-kanak.
2.5 Kronosistem
Sistem
yang terakhir dalam teori ekologi Bronfenbrenner adalah kronosistem.
Kronosistem dilihat sebagai lebih efektif dan bersesuaian dalam mengaitkannya
dengan perkembangan kanak-kanak. Kronosistem bermakna perubahan yang berlaku
terhadap kelakuan dan tingkah laku serta budaya kanak-kanak dalam suatu tempoh
masa. Hal ini bermaksud kanak-kanak akan mudah terdedah dengan persekitaran dan
perubahan semasa dalam membentuk kemahiran, pengalaman dan tingkah laku. Namun
begitu, perubahan yang berlaku dari masa ke semasa telah membantu kanak-kanak
untuk menguasai kemahiran baru yang serba moden.
Dalam kronosistem, terdapat beberapa
kelemahan dan kekurangn yang dapat dilihat terhadap perkembangan kanak-kanak.
Antaranya adalah, kanak-kanak akan mudah lupa serta gagal menguasai kemahiran-kemahiran
yang sedia ada sejak turun temurun. Dalam kata lainnya, kanak-kanak akan mudah
melupai asal dan budaya turun-temurun mereka. Sebagai contoh, kanak-kanak masa
kini lebih gemar untuk bermain permainan komputer, sebaliknya kanak-kanak masa
dahulu lebih gemar bermain di persekitaran rumah mereka. Oleh itu, dirasakan
banyak kemahiran-kemahiran bakal berkurang dan menggugat perkembangan
kanak-kanak dari sudut positif.
Namun begitu, masih terdapat
kekuatan berasaskan kepada sistem kronosistem. Antaranya adalah kebolehan
kanak-kanak dalam menguasai kemahiran-kemahiran baru. Perkembangan dari sudut
masa juga dianggap perlu untuk sentiasa memperoleh generasi baru dari masa ke
semasa. Oleh itu, elemen kronosistem juga dianggap sebagai sesuai dan boleh
digunapakai dalam menyokong teori ekolagi Brofenbrenner. Selain itu,
kronosistem juga merupakan pelengkap kepada kelima-lima sistem yang digagaskan
dalam teori ekologi ini.
Kesimpulannya, tidak semua elemen
ini yang sesuai digunakan dalam membentuk perkambangan kanak-kanak. Namun
begitu, jika kesemua elemen ini diikat jalinkan maka akan terbentuk satu
kesatuan yang boleh membantu perkembangan kanak-kanak secara lebih sempurna.
Akan tetapi, terdapat juga elemen yang dirasakan tidak sesuai digabungkan kerana
akan mendatangkan pertembungan dalam membina perkembangan yang baik. Oleh itu,
diharap agar kesemua sistem ini mampu membantu kanak-kanak untuk
memperkembangkan kemahiran, budaya dan interaksi mereka dengan lebih baik lagi.
Rajah
2 : Model Ekologi Bronfenbrenner
3.0 PERBEZAAN TEORI EKOLOGI BRONFENBRENNER DENGAN TEORI
PERKEMBANGAN ROBERT HAVINGHURST
Perkembangan
kanak-kanak berlaku dalam tempoh pergerakan masa atau keadaan di dalam
persekitaran serta masyarakat. Disebabkan itu, ramai ahli-ahli psikologi dan
falsafah yang membina pelbagai teori atau pendekatan untuk membincangan perkara
ini. Teori-teori ini terhasil melalui idea yang digabungkan dengan prinsip,
fahaman, kajian, penelitian dan hasil olahan. Antara tokoh-tokoh yang terlibat
mengenai kaedah perkembangan kanak-kanak ini ialah Bronfenbrenner, Robert
Havinghurst, Arnold Gesell, Jean Piaget dan ramai lagi. Namun begitu, terdapat
pelbagai perbezaan berasaskan kepada teori-teori yang dihasilkan. Oleh itu,
penyelidikan telah dilakukan mengenai banding beza di antara teori ekologi
dengan teori perkembangan.
3.1 Teori Perkembangan Robert Havinghurst:
Sebelum
kita melihat perbezaan di antara kedua-dua teori, elok rasanya untuk kita
meneliti dan memahami terlebih dahulu apa yang dibincangkan di dalam teori
perkembangan Robert Havinghurst.
Robert Havinghurst ialah seorang
ahli psikologi Amerika yang terkenal dengan teori perkembangan sosio budaya dan
antropologi. Berdasarkan kepada teori yang telah beliau garapkan, beliau
seolah-olah mengakui dan percaya bahawa perkembangan kanak-kanak amat
dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Hal ini sekaligus telah membawa makna,
personaliti seseorang juga turut dipengaruhi oleh nilai-nilai, norma-norma,
budaya dan persekiran. Selain itu, beliau juga turut beranggapan bahawa
perkembangan turut dipengaruhi oleh faktor biologi, sosial dan psikologi.
Di samping itu, Havinghurst juga
turut memperkenalkan konsep-konsep dalam tugas-tugas perkembangan kanak-kanak.
Hal ini bermakna, tugas-tugas ini berfungsi mengikut perkembangan kanak-kanak
itu. Dalam kata lain, apabila berlaku perubahan dari segi usia seseorang
individu, maka tugas-tugas perkambangan juga akan berubah mengikut tahap.
Beliau juga merasakan, kegagalan dalam melalui satu-satu tugas di peringkat
awal akan menyusahkan proses perkembangan dan kesukaran untuk melalui peringkat
seterusnya. Pembahagian tugas ini terbahagi kepada tiga tahap iaitu tahap
pertama peringkat bayi dan awal kanak-kanak ( 0-6 tahun ), tahap kedua
peringkat pertengahan kanak-kanak ( 6-12 tahun ), dan tahap ketiga peringkat
awal remaja dan remaja ( 12-18 tahun ).
Dalam peringkat pertama, kanak-kanak
akan mula menguasai kemahiran asas seperti berjalan, melompat, makan, minum
serta membuang air. Kanak-kanak juga akan mula mengenal perbezaan jantina
antara lelaki dan perempuan. Selain itu, kanak-kanak juga sudah boleh menguasai
kemahiran berinteraksi dan berkomunikasi. Pada peringkat ini juga, mereka akan
mampu untuk mengenal perkataan, tanda-tanda, nombor dan huruf. Dengan itu, telah
wujud kesediaan membaca dalam diri kanak-kanak. Akhirnya, mereka juga akan
melahirkan sikap-sikap yang baik seperti bertolak ansur dan bertimbang rasa. Di
samping itu, mereka juga akan bersedia untuk menerima pandangan dan nasihat
dari orang lain.
Peringkat kedua adalah peringkat
pertengahan kanak-kanak. Pada peringkat ini, kanak-kanak sudah mula menguasai
teknik-teknik permainan dengan baik. Hal ini kerana, telah berlaku perkembangan
otot-otot dan pertumbuhan tulang. Oleh itu, kanak-kanak akan mudah untuk
menguasai kemahiran-kemahiran baru. Selain itu, kanak-kanak juga sudah mula
menguasai kemahiran bersosial dengan baik. Mereka akan mula bertolak ansur
dengan rakan-rakan sebaya. Akhir sekali, kanak-kanak pada peringkat ini turut
menguasai kemahiran 3 M iaitu membaca, menulis dan mengira. Mereka akan lebih
mahir menulis serta membaca serta lancar dan memahami isi bacaan. Dalam kata
lain, mereka akan dapat menghuraikan semula isi bacaan serta menguasai teknik
mengira secara asas.
Akhir sekali adalah peringkat ketiga
iaitu peringkat awal remaja dan remaja. Ketika peringkat ini kanak-kanak sudah
mula melalui perubahan dari segi tubuh badan dan suara. Kanak-kanak lelaki akan
mula memainkan peranan sebagai lelaki dan begitu juga sebaliknya. Mereka juga
suddah pandai memahami batas-batas pergaulan antara lelaki dengan perempuan
serta bersosial mengikut kesesuaian jantina. Dari sudut emosi pula, kanak-kanak
akan mula belajar menghormati orang yang lebih tua dari mereka. Selain itu,
mereka juga sudah bersedia untuk memilih kerja yang bersesuaian mengikut
kehendak dan keperluan semasa. Remaja juga akan mempelajari peranan dan
tanggungjawab yang sewajarnya dalam kehidupan mereka.
Begitulah serba sedikit maklumat
berkaitan dengan teori perkembangan Robert Havinghurst. Beliau lebih menekankan
prinsip perkembangan berasaskan keperluan dan peringkat dalam diri setiap
individu. Di samping itu, teori ini turut mengajar kita supaya sentiasa peka
dengan perubahan yang berlaku dari masa ke semasa. Oleh itu, sebarang masalah
di peringkat perkembangan akan hanya membantutkan proses perkembangan
kanak-kanak itu sendiri.
Rajah
3 : Teori Robert Havinghurst
3.2 Beza di
antara dua teori
Carta 1 : perbezaan di antara Teori
Bronfenbrenner dengan Teori Robert Havinghurst
3.2.1 Istilah
Bagi
sudut istilah, ternyata terdapat perbezaan yang besar di antara kedua-dua teori
ini. Bronfenbrenner berpendapat perkembangan kanak-kanak terjadi hasil daripada
interaksi alam persekitaran dengan kanak-kanak itu sendiri. Hal ini bermakna,
kanak-kanak sentiasa akan memperkembangkan kemahiran mereka setelah
berinteraksi dengan persekitaran. Oleh itu, perkembangan tidak mungkin akan
terhenti atau terbantut selagi mana kanak-kanak it uterus bersosial dan
menerima pengaruh dari persekitaran mereka.
Namun begitu, bagi pendapat Robert
Havinghurst pula, perkembangan kanak-kanak berlaku akibat daripada pengaruh
masyarakat, norma-norma, nilai-nilai dan persekitaran. Oleh itu, beliau
merasakan perkembangan itu berlaku secara sendiri dan terkawal.
Walaubagaimanapun, beliau turut merasakan perkembangan akan terjejas sekiranya
perkembangan di peringkat pertama gagal. Rumusannya, dalam teori perkembangan
Robert Havinghurst, perkembangan kanak-kanak perlulah sentiasa diawasi dan
diberi tunjuk ajar dari masa ke semasa. Dalam soal ini, beliau menggalakan
perkembangan berjalan secara individu dan tidak terikat.
3.2.2 Konsep
Dalam
teori ekologi Bronfenbrenner, perkembangn kanak-kanak berlaku dalam lima
proses. Proses-proses ini boleh berlaku samaada secara keseluruhan atau tidak
menyeluruh. Kelima-lima proses ini adalah proses mikrosistem, mesosistem,
eksosistem, makrosistem dan kronosistem. Kepelbagaian di dalam proses-proses
ini membolehkan kanak-kanak berkembang dari pelbagai sudut yang berbeza. Namun
begitu, terdapat beberapa perkara yang dianggap tidak cenderung dengan situasi
semasa kanak-kanak. Oleh itu, kegagalan proses perkembangan mungkin akan
berlaku jika teori ini diguna pakai.
Merujuk kepada teori perkembangan
Robert Havinghurst pula, terdapat tiga aliran peringkat perkembangan dalam diri
setiap individu. Peringkat-peringkat ini adalah peringkat bayi dan awal
kanak-kanak, peringkat pertengahan kanak-kanak, serta peringkat awal remaja dan
remaja. Menurut Havinghurst, sekiranya kanak-kanak gagal untuk melepasi setiap
satu tahap dengan baik dan sempurna, maka akan timbul masalah untuk ke peingkat
seterusnya. Oleh itu, adalah sukar untuk meramalkan tahap sebenar kanak-kanak
itu jika dirujuk kepada teori ini sahaja.
3.2.3 Sumbangan
Teori
ekologi Bronfenbrenner telah mendatangkan implikasi yang besar samaada dalam
proses perkembangan kanak-kanak mahupun dari sudut pendidikan dalam bilik
darjah. Teori ini dapat membantu guru-guru untuk mengenali dan membuat
penilaian terhadap pelajar-pelajar mereka. Selain itu, teori ini juga turut
membantu kanak-kanak untuk mempelajari teknik, kemahiran dan pengalaman baru
mengikut kesesuaian semasa. Oleh itu, kanak-kanak akan terus berkembang
mengikut peredaran masa dan persekitaran.
Berbeza pula dengan teori
perkembangan Robert Havinghurst. Berdasarkan teori ini, guru-guru akan dapat
membuat penilaian dan menggolongkan para pelajar mengikut kemahiran yang
berbeza. Oleh itu, para guru akan lebih mudah untuk mengatur teknik pengajaran
yang sesuai berasaskan perbezaan kemahiran para pelajar mereka. Di samping itu,
kanak-kanak juga akan mampu menguasai kemahiran mengikut tahap kesesuaian
mereka. Dalam kata lain, kanak-kanak tidak perlulah memikirkan akan hal-hal
yang akan dating.
3.2.4 Implikasi
Kedua-dua
teori ini juga turut mendatangkan implikasi-implikasi khasnya kepada
kanak-kanak. Sebagai contoh, dalam teori ekologi, perkembangan kanak-kanak
hanya terhad kepada faktor persekitaran semata-mata. Ruang lingkupnya terlalu
terhad dan tidak berjalan secara menyeluruh. Selain itu, teori ini juga tidak mempunyai
nilai galakan atau sumbangan dari luar yang dianggap sebagai mampu untuk
menjadi daya penyumbang yang besar tehadap perkembangan kanak-kanak pada masa
kini.
Teori perkembangan Robert
Havinghurst juga mempunyai kekurangan yang menjadi implikasi terhadap
perkembangan kanak-kanak. Antara implikasinya adalah seperti menghadkan tahap
perkembangan kanak-kanak dalam menguasai sesuatu kemahiran. Hal ini begitu
jelas, apabila teori ini memberi tumpuan secara berperingkat maka perkembangan
kanak-kanak juga akan tersekat mengikut peringkat. Perkembangan mereka akan
menjadi terhad dan mereka sukar untuk melepasi tahap kemahiran yang sedia ada.
Selain itu, masalah juga akan timbul sekiranya kanak-kanak gagal untuk melepasi
satu-satu tahap dengan baik. Oleh itu, adalah lebih wajar untuk menggarapkan
kepelbagaian dalam satu-satu teori itu.
Kesimpulannya, kedua-dua teori ini
sememangnya mempunyai banyak perbezaan yang. Keperbezaan ini boleh datang dalam
pelbagai sudut. Kerana itu, seseorang tokoh psikologi tidak akan memandang pada
satu sudut sahaja dalam membuat penilaian terhadap sistem perkembangan
kanak-kanak ini. Maka adalah wajar, jika kita membuat penyelidikan secara lebih
mendalam dan mengguna pakai sesuatu teori itu mengikut kesesuaian dan keperluan
semasa. Dalam kata lain, prinsip perkembangan kanak-kanak itu bukanlah sesuatu
yang bersifat konkrit sebaliknya ianya akan sentiasa berubah dari masa ke
semasa.
3.3 Perbezaan
berasaskan prinsip teori dalam proses perkembangan
|
TEORI EKOLOGI BRONFENBRENNER
|
TEORI PERKEMBANGAN ROBERT HAVINGHURST
|
Proses
perkembangan
|
Menurut beliau,
persekitaran perkembangan individu terdiri daripada lima sistem,
iaitu :
·
Mesosistem :
Pengalaman satu sistem Mikro mempengaruhi sistem Mikro lain. Ia merujuk
kepada hubungan individu dengan individu lain dalam persekitaran di mana
individu ituberkembang,contohnya rumah,sekolah dan jiran.
·
Ekosistem :
Keadaan yang tidak melibatkan individu secara langsung,
tetapi mempengaruhi sistem individu
dan keluarga,contohnya tempat kerja,ibu bapa.
·
Makrosistem : Persekitaran yang abstrak, merangkumi sistem
kepercayaan dan ideologi.Sosial dalam masyarakat contohnya budaya Melayu dan
budaya Islam.
Merujuk kepada peristiwa
dan transisi yang berlaku dalam persekitaran individu sepanjang hayatnya. Sejarah perkembangan sosial individu (kehidupan moden
jadikan kanak-kanak lebih maju)
|
Peringkat-peringkat dalam
teori tugas perkembangan Robert J.Havighurst,
Iaitu :
1.
9-15 bulan : Berjalan,
berlari dan melompat. Bersedia menghadam dan menyerap pelbagai jenis makanan.
2. 20-24 bulan: Menggabung perkataan utk menjadi suku
kata.
3. 2-4
tahun: Mengawal pembuangan kotoran.
4. 5-6
tahun: Bersedia untuk membaca.
·
Peringkat pertengahan kanak-kanak( 6-12 tahun):
1. Membentuk sikap menjaga kebersihan badan dan konsep
kendiri.
2. Belajar menyesuaikan diri dgn rakan sebaya.
·
Peringkat remaja (13-18
tahun) :
1. Mencapai perhubungan baru dengan rakan sebaya dari
kedua jantina.
2.
Pencapaian akil baligh
membawa kepada perubahan bentuk badan.
·
Peringkat
kedewasaan awal (19-29 tahun)
1. Berusaha menampilkan diri dalam pekerjaan dan akan
membentuk gaya hidup.
2.
Cuba menjalinkan
persahabatan intim dengan individu yang berlainan jantina.
·
Peringkat akhir dewasa (61 tahun ke atas) :
Mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang kerjaya dan akan dihormati
kerana telah memberikan sumbangan yang besar.
|
4.0 IMPLIKASI TEORI PERKEMBANGAN TERHADAP PROSES PEMBELAJARAN
KANAK-KANAK
Dalam
memastikan perkembangan kanakk-kanak berjalan dengan baik, adalah wajar untuk
kita meneliti setiap perkara yang berhubung rapat dengan proses perkembangan
ini. Kerana itu, Bronfenbrenner memperkenalkan teori perkembangan ekologi
kanak-kanak. Berdasarkan teori ini, beliau menyatakan bahawa perkembangan
seseorang individu itu merangkumi lima sistem yang berhubung dengan
persekitaran. Lima sistem ini adalah mikrosistem, mesosistem, eksosistem,
makrosistem dan kronosistem. Kesemua lima sistem ini telah memberikan implikasi
kepada para guru dalam menyediakan diri ke arah proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas.
Sebagai guru, adalah menjadi
tanggungjawab untuk kita memberi bimbingan yang terbaik kepada para pelajar.
Hal ini beerti, guru bukanlah hanya sekadar mengajar bahkan turut berperanan
untuk mendidik para pelajar termasuk untuk memberi bimbingan yang sewajarnya.
Hal ini kerana, pelajar akan lebih banyak meluangkan masa mereka di
persekitaran sekolah berbanding di rumah. Oleh itu, adalah wajar sekiranya guru
dijadikan sumber rujukan dan menjadi penasihat yang terbaik kepada pelajar
mereka. Kerana itu, guru mestilah bijak dalam merangka aktiviti pengajaran yang
berkesan dan bersesuaian dengan pengalaman, minat serta pengetahuan sedia ada
pelajar untuk meningkatkan tahap perkembangan mereka. Begitu juga halnya dengan
persiapan awal yang perlu dilaksanakan oleh para guru sebelum memulakan sesi
pengajaran. Guru haruslah peka terhadap masalah –masalah pelajar supaya
objektif yang diharapkan akan tercapai dengan baik.
Jika dilihat dari sudut mesosistem
pula, guru haruslah sentiasa menunjukkan sikap yang baik dan terpuji kepada
para pelajar. Guru yang tidak menunjukkan sikap yang baik kepada para pelajar
akan menimbulkan pelbagai masalah terutama kepada para pelajar itu sendiri. Hal
ini adalah kerana, pelajar akan senang terpengaruh dan terikut-ikut dengan
segala tindakan guru. Mereka sering menjadikan guru sebagai penunjuk cara dan
sumber rujukan mereka. Kerana itu, mereka gemar meniru tingkah laku para guru.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang guru itu menunjukkan sikap negatif seperti
panas baran di dalam kelas, maka mereka akan terikut-ikut akan sikap ini
seterusnya membawa amalan ini ketika di rumah. Disebabkan itu, adalah penting
untuk para guru dalam menerapkan unsur-unsur kerohanian semasa proses
pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru juga perlulah sentiasa memberi
nasihat yang berguna kepada para pelajar supaya mereka akan menjadi orang yang
berguna kelak.
Beralih pula kepada aspek eksosistem.
Dalam sistem ini, seseorang individu boleh mempengaruhi individu yang lain
berasaskan kepada pengalaman sedia adanya. Sebagai contoh, seorang pelajar yang
pasif mampu untuk mempengaruhi persekitaran kelas sekaligus memberi kesan
kepada proses penyediaan aktiviti pengajaran guru. Begitu juga halnya kepada
pelajar yang terlalu aktif. Oleh itu, guru perlulah melakukan kepelbagaian
dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya dapat menarik minat pelajar
untuk meneruskan proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Disebabkan itu,
guru-guru perlulah memberi tumpuan yang lebih terhadap semua pelajar samaada
pelajar itu aktif mahupun pasif. Hal ini adalah kerana, setiap pelajar
mempunyai tahap perkembangan yang berbeza-beza walaupun berada di dalam kelas
yang sama.
Aspek seterusnya adalah aspek persekitaran makrosistem.
Aspek ini menyentuh tentang daya perkembangan kanak-kanak yang dipengaruhi oleh
norma-norma dan amalan masyarakat setempat. Oleh itu, adalah penting untuk para
guru bagi menjelaskan dan memperbaiki kesalah fahaman para pelajar tentang
sesuatu konsep. Hal ini adalah kerana, ibu bapa sering kali membawakan kefahaman
yang tidak sesuai dengan keperluan semasa. Sebagai contoh, ibu bapa yang
menghalang pelajar perempuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat
tertinggi. Perkara sebegini sering berlaku kerana ibu bapa percaya bahawa kaum
wanita hanya layak untuk menjaga keperluan keluarga sahaja berbanding kaum
lelaki yang memikul tanggungjawab lebih besar sebagai ketua keluarga. Oleh
sebab itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada para guru untuk memperbetulkan
semula fahaman-fahaman sebegini agar tidak menjejaskan proses perkembangan
kanak-kanak. Selain itu, kepercayaan-kepercayaan seperti ini juga haruslah
dikikis daripada pemikiran mereka agar mereka memahami kepentingan pelajaran
dalam hidup mereka.
Kecanggihan teknologi pada masa kini dilihat menjadi
beban kepada kanak-kanak khasnya kepada para pelajar di kawasan bandar. Hal ini
adalah kerana, pengaruh media massa seperti televisyen dan internet yang
berkembang maju tanpa batas dan kawalan. Kesannya, kanak-kanak akan mudah
terdedah dengan adegan-adegan negatif dan pembawaan budaya barat yang teruk.
Mereka akan senang terpengaruh dan terikut dengan paparan-paparan yang tidak
sihat ini. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada para guru untuk
memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang betul agar golongan kanak-kanak tidak
terjebak dengan masalah negatif yang semakin menular pada masa kini. Selain
itu, para guru juga perlulah bijak untuk menggunakan kecanggihan ini sebagai
perangsang dalam membentuk pelajar yang serba boleh dan berkualiti.
Oleh yang demikian, peranan guru adalah perlu untuk
menjamin proses perkembangan kanak-kanak dengan baik. Implikasi yang timbul
berdasarkan kepada teori ekologi Bronfenbrenner ini perlu dipandang serius
serta diatasi dengan sebaik mungkin. Kesimpulannya, keberkesanan dalam proses pendidikan
terutama dari segi pengajaran dan pemilihan aktiviti yang baik telah membantu
proses perkembangan kanak-kanak. Jadi adalah wajar untuk masyarakat kini,
meneliti dan memanfaatkan teori ini dalam usaha membantu kanak-kanak membina
kemahiran dalam diri mereka.
5.0 RUMUSAN
Teori
ekologi Bronfenbrenner sememangnya memberi keterangan berkaitan dengan kajian
terhadap proses perkembangan seseorang individu. Berdasarkan kepada teori ini,
kita dapat membuat penelitian berkaitan dengan proses-proses perkembangan yang
berlaku secara berperingkat. Melihat dari pelbagai perspektif, teori ini adalah
dianggap masih bersesuaian dengan proses perkembangan yang berlaku pada masa
kini.
Mengikut pegangan Bronfenbrenner,
proses perkembangan kanak-kanak adlah sangat berkait rapat dengan persekitaran
terdekat. Selain itu, teori ini juga telah dipecahkan kepada lima bahagian yang
dikira sebagai berturutan. Lima aspek ini adalah mikrosistem, mesosistem,
eksosistem, makrosistem dan kronosistem. Kelima-lima aspek ini merupakan pokok
kepada teori ini. Hal ini bermakna, teori ini telah menjadikan kelima-lima
aspek ini sebagai pegangan untuk menyokong proses perkembangan kanak-kanak.
Disebabkan itu, maka adalah baik
sekiranya para guru dapat mengaplikasikan teori ini sebagai panduan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan membuat kajian berkaitan dengan
teori ini, para guru seharusnya telah memahami keperluan dan perbezaan terhadap
para pelajar. Dengan itu, para guru akan lebih mudah untuk memilih teknik
pengajaran yang bersesuaian. Di samping itu, guru-guru juga akan lebih bersedia
untuk menghadapi pelbagai situasi pelajar ketika di dalam kelas.
Dengan merujuk kepada teori ekologi
ini, guru-guru juga haruslah sentiasa menunjukkan sikap yang terpuji kepada
para pelajar. Hal ini kerana, dalam proses perkembangan, Bronfenbrenner percaya
bahawa kanak-kanak akan mudah terpengaruh dengan masyarakat setempat terutama
guru mereka. Kanak-kanak juga seringkali menjadikan guru mereka sebagai contoh
terbaik untuk diikuti. Maka, adalah wajar sekiranya para guru untuk meneliti
teori ini dengan baik seterusnya memanfaatkannya sebagai rujukan dalam
kehidupan.
Selain itu, teori ini juga sangat mementingkan keadaan
persekitaran sebagai satu faktor yang mendorong ke arah proses perkembangan
individu. Sekiranya seseorang kanak-kanak itu membesarkan di dalam persekitaran
yang baik, maka proses perkembangannya juga akan berjalan dengan baik.
Begitulah juga dengan perkembangan kemahiran dalam diri kanak-kanak. Namun,
jika kanak-kanak itu membesar dalam persekitaran yang kurang sihat, maka proses
perkembangannya juga tidak akan berjalan dengan baik.
Oleh itu, adalah wajar sekiranya
semua pihak memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan konsep
persekitaran yang terbaik. Kita juga perlulah sentiasa mengambil kira akan
keadaan semasa untuk mengelakkan kanak-kanak daripada terikut-ikut akan gejala
yang tidak sihat seterusnya membantutkan proses perkembangan mereka. Semua
pihak juga seharusnya menunjukkan sikap yang terbaik kerana ianya bakal menjadi
ikutan kanak-kanak.